Judul : Kopi disyaki ada kafein berlebihan, amphetamine
link : Kopi disyaki ada kafein berlebihan, amphetamine
Kopi disyaki ada kafein berlebihan, amphetamine
Kopi campuran yang didakwa menyebabkan gejala letih dan lemah teruk disyaki mengandungi dos kafein yang berlebihan.
Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (PERDIM), Dr Zubaidi Ahmad, berkata dos kafein yang dibenar atau selamat diambil adalah 300 miligram (mg) sehari.
Katanya, kafein adalah bahan rangsangan dan sekiranya diambil melebihi had ditetapkan, ia boleh menyebabkan ‘hyper stimulation’ terhadap pengguna.
“Kesan pengambilan kafein berlebihan boleh dilihat dalam tempoh dua atau tiga hari selepas itu. Antara simptomnya adalah individu berkenaan berasa letih melampau.
“Sebelum itu, pengguna sukar untuk tidur, rasa berdebar, terlalu bertenaga dan sakit kepala bagi yang migrain. Akhirnya menyebabkan pengguna tidak boleh mengawal keadaan mereka kerana tidak boleh fokus.
“Mungkin juga boleh membawa maut sekiranya kafein diambil dalam kuantiti terlalu banyak,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.
Beliau juga mengesyaki kemungkinan kopi campuran itu mengandungi bahan terlarang seperti amphetamine yang diklasifikasi sebagai racun berbahaya.
Katanya, amphetamine mengakibatkan aktiviti meningkat, kurang selera makan, tekanan darah meningkat, kadar pernafasan meningkat, sakit kepala, kurang rasa mengantuk, mulut menjadi kering, berpeluh, kurang daya imbangan badan dan penglihatan kabur.
Sementara itu, Pengarah Pusat Racun Negara (PRN), Prof Datuk Dr Mohamed Isa Abd Majid, berkata pihaknya akan menyiasat kandungan kopi berkenaan berdasarkan dua kemungkinan.
Kemungkinan pertama adalah kopi berkenaan mengandungi ubat kuat dan kedua, kopi itu menggunakan campuran durian sehingga memberi kesan terhadap kesihatan pengguna.
Namun, beliau tidak menolak dakwaan kemungkinan kopi berkenaan dicampur dengan ‘ramuan’ terlarang atau mengandungi bahan tercemar.
“Insya-Allah, tengah hari esok kami akan dapat sampel (kopi) daripada Jabatan Kesihatan. Kita jangka hasil analisis makmal siap diperoleh pada sebelah petang,” katanya.
Sumber: BH Online
Sumber Kopi disyaki ada kafein berlebihan, amphetamine