Judul : Tak terlalu berat, mudah dihayati
link : Tak terlalu berat, mudah dihayati
Tak terlalu berat, mudah dihayati
Nama Yuka Kharisma mungkin tidak sekuat penyanyi Indonesia lain yang mencipta nama di sini.Namun, lagu Yuka sebenarnya bermutu tinggi dan boleh dikatakan setanding penyanyi popular Indonesia lain.
Menerusi album sulung diberi judul Yuka #1, penyanyi yang kini bermastautin di negara ini menampilkan lapan lagu dipersembahkan dalam pelbagai genre.
Antara lagu menaikkan nama Yuka dalam industri muzik tanah air ialah Ku Bersedia ciptaan Pay manakala liriknya oleh Dewiq.
Jika ada yang pernah menonton filem Girlfriend Kontrak, tentunya lagu Ku Bersedia tidak asing lagi kerana pernah menjadi runut bunyi filem itu.
Dari segi vokal, kemampuannya melantunkan bait kata mengikut melodi tidak perlu dipertikai. Bukan saja di dalam studio, Yuka juga mampu menyanyi dengan baik secara langsung.
Beberapa kali mendengar dan mengamati suaranya, ada mirip dengan suara vokalis tersohor Indonesia, Titi DJ dan Anggun.
Bercerita mengenai album pertamanya ini, Yuka yang turut menulis lirik untuk beberapa lagu menyebut tiga lagu yang memberi kesan kepadanya.
“Dalam semua lapan lagu, ada beberapa lagu yang benar-benar terkesan buat saya iaitu Mati Rasa, Pulang dan Kecewa.
“Sukar untuk saya jelaskan, tetapi ketiga-tiga lagu itu dari segi susunan melodi dan liriknya, semuanya ada ‘sesuatu’ yang membuatkan saya sangat tersentuh,” katanya.
Selain tiga lagu itu, Yuka #1 juga membariskan beberapa trek lain iaitu Baby Santai, Jatuh Cinta, Kita Harus Percaya, Teman Baik Saja dan Ku Bersedia.
“Mati Rasa adalah single pertama yang saya promosikan dan selepas itu sekiranya sambutan menggalakkan, saya akan teruskan dengan Kecewa.
“Apa yang boleh saya katakan, lagu dalam Yuka #1 tidak terlalu berat dan mudah dihayati. Insya-Allah, ia akan jadi alternatif buat peminat muzik Malaysia yang mahukan sedikit kelainan,” katanya.
Bagaimanapun, Yuka juga kini sedang melakukan persiapan untuk konsert pertamanya iaitu Bunga Citra Lestari, Anuar Zain & Yuka Kharisma Live in Concert yang akan berlangsung pada 28 April depan.
Sumber Tak terlalu berat, mudah dihayati