Judul : PBP janji lahir pemain berkaliber
link : PBP janji lahir pemain berkaliber
PBP janji lahir pemain berkaliber
KUANTAN: Persatuan Badminton Pahang (PBP) menetapkan tempoh dua tahun untuk menggilap dan melahirkan pemain berkaliber, sekali gus mencabar pemain negeri lain dalam sukan berkenaan.
Presiden PBP, Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah berkata, pihaknya mahu mencontohi Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang yang sering menggilap pemain hingga muncul pemain berwibawa.
Katanya, tiada yang mustahil untuk mendapat keputusan itu jika semua pihak, khususnya jurulatih dan pemain mempamer semangat dan komitmen tinggi.
"Kita dapat lihat pencapaian yang diraih Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang yang berjaya menggilap pemain yang mampu meraih keputusan terbaik pada setiap kejohanan.
"Begitu juga Pahang, PBP percaya dengan bakat yang dimiliki, misi melahirkan pemain yang meraih kejayaan di peringkat kebangsaan akan tercapai.
"Ia berdasarkan program pembangunan dilaksanakan sepanjang tahun ini termasuk menyertai lebih banyak sirkit remaja kebangsaan selain kejohanan peringkat daerah dan negeri," katanya.
Tengku Kamil Ismail berkata demikian pada sidang media selepas majlis memeterai perjanjian penajaan barangan sukan antara PBP dan Fleet International Holdings Sdn Berhad, hari ini.
Fleet International Holdings diwakili Pengarah Urusannya, Teo Tong Wah.
Mengulas penajaan itu, Tengku Kamil Ismail berkata, sejumlah RM80,000 nilai tajaan diterima daripada syarikat sukan berkenaan selama dua tahun sehingga tahun depan.
"Penajaan ini juga adalah kali kedua yang diyakini membantu perkembangan sukan badminton di Pahang," katanya.
Sementara itu, Tong Wah berkata, pihaknya berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan pasukan Pahang terutama dalam usaha melahirkan pemain berkaliber.
Sumber PBP janji lahir pemain berkaliber