Judul : Nasihat lebih berkesan, wanita main peranan penting perangi rasuah - SPRM
link : Nasihat lebih berkesan, wanita main peranan penting perangi rasuah - SPRM
Nasihat lebih berkesan, wanita main peranan penting perangi rasuah - SPRM
KOTA KINABALU: Golongan wanita di negeri ini dilihat mampu menjadi tonggak utama dalam memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa.Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Sazali Salbi berkata, peranan wanita dalam membanteras gejala rasuah penting dalam mendidik serta mempengaruhi masyarakarat.
Jelasnya, ini terbukti apabila para wanita dapat memberikan nasihat, didikan dan bimbingan yang lebih berkesan dalam mewujudkan gelombang kesedaran membenci rasuah di setiap lapisan masyarakat.
"Kami (SPRM) memandang tinggi kelebihan yang ada para wanita dan memberi peluang kepada golongan ini dalam membuktikan kehebatan mereka memerangi jenayah rasuah.
"SPRM melihat golongan wanita ini amat penting dan perlu memainkan peranan utama dalam memerangi rasuah disebabkan mereka merupakan seorang ibu, isteri atau kakak dalam sesebuah keluarga.
"Oleh itu, mereka mampu mendidik serta mempengaruhi masyarakat serta menyampaikan mesej anti rasuah, malah memerangi rasuah, sekali gus melahirkan generasi membenci rasuah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Wanita Anti Rasuah (G-War) Peringkat Negeri Sabah di Dewan Wisma Wanita Kota Kinabalu, hari ini.Kata Sazali, golongan wanita yang terlibat dalam kesalahan rasuah dan salah guna kuasa di negara ini perlu ditangani segera agar tidak menjadi semakin meruncing.
"Statistik SPRM 2012 hingga Januari 2018 menunjukkan sebanyak 700 kertas siasatan telah dibuka ke atas wanita yang disyaki terlibat dalam gejala negatif ini.
"Seramai 453 wanita telah ditangkap bagi membantu siasatan dan 183 daripada mereka telah dihadapkan ke mahkamah untuk pertuduhan.
"Oleh yang demikian, saya meminta semua kaum wanita untuk bangkit bersama memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa agar tidak ada lagi wanita terjerumus ke kancah yang kotor dan jijik ini," tambahnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah, Masnah Matsalleh berkata program G-WAR ini adalah satu inisiatif SPRM dan JHEWA dalam menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, sejajar dengan Tahun Memperkasa Wanita.
"Tahun ini merupakan Tahun Memperkasa Wanita, jadi menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) jabatan dan kementerian untuk mengadakan program memperkasakan wanita.
"Salah satu jabatan yang menyahut seruan itu adalah SPRM, melalui program hari ini, iaitu G-WAR.
"Harus diingatkan bahawa dalam kelembutan wanita itu tersirat kegigihan, kekuatan dan ketabahan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara," katanya.
Sementara itu, G-WAR merupakan satu lagi idea yang dicetuskan bagi membawa dan menggerakkan kaum wanita bersama SPRM untuk berganding bahu memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa.
Pelancaran ini juga selaras dengan usaha pihaknya yang termaktub dalam Pelan Strategik SPRM 2017-2020 iaitu pembudayaan nilai benci rasuah dan pengukuhan sokongan masyarakat dengan pendekatan mesra rakyat.
Terdahulu, SPRM melancarkan Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah di mana lebih kurang 160,000 orang telah berdaftar, termasuk kira-kira 60,000 wanita.
Sumber Nasihat lebih berkesan, wanita main peranan penting perangi rasuah - SPRM