Judul : Pengalaman, skil penting di Sukan Komanwel - Azizulhasni
link : Pengalaman, skil penting di Sukan Komanwel - Azizulhasni
Pengalaman, skil penting di Sukan Komanwel - Azizulhasni
KUALA LUMPUR: Biarpun belum sembuh sepenuhnya daripada jangkitan demam virus, jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang percaya pengalaman dan skil kayuhannya akan membantu kontinjen negara meraih pingat di Sukan Komanwel, Gold Coast, Australia, bulan depan.Bekas juara dunia itu berkata, pada penampilannya kali ini bukan atas tiket individu tetapi berpasukan apabila melihat prestasi rakan sepasukannya Muhammad Shah Firdaus Sahrom lebih baik berbanding dirinya ketika ini.
Beliau berkata, sekiranya kedua-dua mereka layak ke final pada temasya itu, beliau bersedia memberi laluan kepada kepada Muhammad Shah untuk meraih pingat buat kontinjen negara.
"Kami memang berharap untuk pulang dengan pingat tanpa mengira warna," katanya pada sidang media mengenai persediaan atlet program Podium di Institut Sukan Negara (ISN) di sini, hari ini.Azizulhasni, pemenang pingat gangsa acara keirin di Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland pada 2014, berkata, beliau tidak akan mensia-siakan peluang dan akan menggunakan pengalaman serta skil yang ada untuk berjuang habis-habisan di Gold Coast.
Beliau yang berlatih di Melbourne lebih 10 tahun itu, berkata beraksi di Gold Coast juga ibarat berlumba di laman sendiri dan beliau turut teruja untuk mempamerkan kayuhan terbaik di hadapan penyokongnya di sana.
"Pada latihan dalam minggu ini, saya lihat corak kayuhan semakin bagus walaupun tidak setara dengan prestasi saya ketika Kejohanan Trek Berbasikal Asia baru-baru ini.
"Acara keirin ini tidak bergantung pada prestasi sahaja tetapi faktor lain seperti pengalaman, skil, taktik kayuhan serta elemen nasib juga mempengaruhi pada hari perlumbaan.
Jurulatih (John Beasley) percaya saya boleh kawal tekanan itu dan pengalaman saya boleh menutupi defisit 30 peratus kekurangan prestasi saya ketika ini," katanya.
- BERNAMA
Sumber Pengalaman, skil penting di Sukan Komanwel - Azizulhasni