Judul : Jangan jual tanah Felcra, nasihat Azeez kepada peserta
link : Jangan jual tanah Felcra, nasihat Azeez kepada peserta
Jangan jual tanah Felcra, nasihat Azeez kepada peserta
BALING, 31 Mac — Peserta Tanah Rancangan Felcra Berhad yang sudah mendapat geran di daerah ini diminta agar tidak memajak, menjual dan menggadai tanah tersebut sewenang-wenangnya demi kepentingan diri sendiri.
Anggota Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, ini adalah langkah bagi memastikan tanah itu terus diusahakan dan diwarisi dengan sebaiknya.
“Usahakan tanah, tanamlah apa saja sebab ia akan menjadi punca pendapatan yang berpanjangan walaupun hasilnya tak mewah macam jual tanah,” katanya selepas menyerahkan Geran Tanah Peserta-Peserta Felcra Berhad Kawasan Iboi Tiak di sini hari ini.
Hadir sama, Pengurus Besar Wilayah Felcra Berhad Utara, Wan Mokhtar Wan Muda dan Pegawai Daerah Baling, Datuk Md Shuhaime Abdul Rahman.
Dalam pada itu, Wan Mokhtar menjelaskan sebanyak 12 projek dengan keluasan tanah 1,250 hektar akan dimajukan di Felcra Iboi Tiak, melalui pembabitan 413 peserta.
Pada majlis tersebut, sebanyak 128 geran oleh Felcra, 122 geran yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan 52 Lesen Pendudukan Sementara (TOL) diberikan kepada peserta bagi kawasan tersebut. — Bernama
Sumber Jangan jual tanah Felcra, nasihat Azeez kepada peserta