Judul : Kesan Dunning-Kruger: Apa yang anda perlu tahu tentang 'bodoh sombong'?
link : Kesan Dunning-Kruger: Apa yang anda perlu tahu tentang 'bodoh sombong'?
Kesan Dunning-Kruger: Apa yang anda perlu tahu tentang 'bodoh sombong'?
PERNAHKAH anda berhadapan dengan seorang yang ‘syok sendiri’?Misalnya, seseorang itu hanya memiliki gred C dalam ujian matematik, namun tetap mendabik dada bahawa dia mempunyai kemahiran matematik yang tinggi dan menafikan gred tersebut.
Lebih teruk lagi, dia berasa dirinya lebih hebat berbanding orang sekelilingnya.
Hal ini dapat disamakan bak pepatah orang Melayu: bodoh sombong.
Dari sudut psikologi, orang ‘bodoh sombong’ ini mengalami satu fenomena Kesan Dunning-Krugger (Dunning-Kruger Effect).
Maka, perlu kita fahami fenomena kejahilan atau ‘bodoh sombong’ ini agar kejahilan tersebut perlu ‘dirawat’ agar tidak ‘merebak’ kepada orang lain, kerana kesan Dunning-Kruger ini ibarat ‘kanser’ dalam peribadi manusia yang perlu kita sedari dalam diri kita sejak awal lagi.
Apa itu kesan Dunning-Kruger?
Kesan Dunning-Kruger adalah salah satu bias kognitif yang menjelaskan individu yang mempunyai keupayaan tahap rendah menderita keunggulan ilusi, iaitu seseorang menganggap dirinya mempunyai sifat atau kebolehan yang lebih tinggi, dan mengalami kekeliruan dalam menilai kemampuan kognitif mereka.
Dalam erti kata mudah, individu yang mengalami kesan Dunning-Kruger adalah orang yang jahil namun berasa dirinya lebih hebat daripada orang lain dan tidak menerima teguran orang lain akan kesilapan atau kekurangan yang dialami oleh orang tersebut.
Dapat difahami bahawa semakin jahil seseorang itu, semakin yakin bahawa dirinya adalah cerdik tanpa menyedari semakin banyak kesilapan dan kekurangan yang sebenarnya dimiliki.
Istilah ini dicipta pada tahun 1999 dalam penerbitan David Dunning dan Justin Kruger di Cornell University mengenai kajian psikologi bias kognitif manusia, juga menjelaskan bahawa individu yang mengalami sedemikian tidak mempunyai keupayaan untuk menilai kekurangan dalam kemampuan mereka sendiri.
Mereka ini juga tidak mampu menilai kecekapan atau ketidakcekapan mereka sendiri serta bukan sahaja melebih-lebihkan kemahiran mereka sendiri, malah juga tidak menyedari akan kemahiran orang lain yang lebih tinggi berbanding dirinya.
Dalam satu penyelidikan terhadap 600 peserta dengan ibu bapa dan anak-anak mereka, dalam tempoh 22 tahun daripada Universiti Michigan, mereka mendapati korelasi yang jelas antara tingkah laku agresif dan skor IQ yang lebih rendah serta ia dapat dikaitkan dengan kesan Dunning-Kruger tersebut.
Apakah ciri-ciri orang mengalami kesan Dunning-Kruger?
- Cenderung melebih-lebihkan tahap keupayaan atau kemahiran mereka sendiri
- Tidak mampu dan gagal mengiktiraf dan melihat keupayaan atau kemahiran orang lain
- Tidak tahu dan gagal mengenal pasti kekurangan dalam keupayaan dalam diri mereka
- Menolak sebarang kritikan walaupun ia bersifat konstruktif
- Cenderung menggunakan kemarahan dan tingkah laku yang agresif untuk menjamin kedudukan mereka
Memetik pesanan Confucius yang mengatakan 'pengetahuan yang sebenar adalah mengetahui kejahilan dirinya sendiri', kita seharusnya perlu muhasabah diri untuk sentiasa menilai sejauh manakah tahap kesedaran dalam diri kita di samping tidak cepat membuat perbandingan dengan orang lain.
Oleh itu, seperti yang dikatakan oleh ahli falsafah Greek, Socrates yang mengatakan 'kebijaksanaan yang sebenar adalah apabila kita mengetahui bahawa kita tidak tahu langsung', kita jangan cepat mendongak ke langit lebih tinggi sebelum tunduk untuk memandang bumi.
Sumber Kesan Dunning-Kruger: Apa yang anda perlu tahu tentang 'bodoh sombong'?