Judul : Akademi Pilihan Raya akan diperkasa - SPR
link : Akademi Pilihan Raya akan diperkasa - SPR
Akademi Pilihan Raya akan diperkasa - SPR
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membuka cawangan-cawangan Akademi Pilihan Raya (APR) di peringkat zon atau negeri pada masa akan datang supaya masyarakat lebih memahami fungsi SPR dan hal-hal berkaitan pilihan raya.Pengerusinya Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata akademi itu tidak lagi hanya memberikan kursus kepada petugas SPR sahaja, sebaliknya telah turun padang di seluruh negara bagi memberi penjelasan kepada masyarakat pelbagai peringkat mengenai proses pilihan raya.
"Kita di SPR akan memperkasa akademi ini dan akan memberi pendedahan kepada masyarakat khususnya generasi muda mengenai perjalanan pilihan raya, bagaimana persempadanan itu dibuat, bagaimana pendaftaran (pemilih) dibuat.
"Ini supaya pada suatu ketika masyarakat sudah tidak asing lagi dengan proses pilihan raya dan apa yang dijalankan SPR secara berterusan," katanya ketika ditemu bual hos Shuhaimi Mohamed dalam program Sesi Khas Bersama SPR yang disiarkan di TV1, malam tadi.
APR dilancarkan pada 2007 dengan objektif utama untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawai dan kakitangan SPR serta petugas-petugas pilihan raya dan parti-parti politik selain meningkatkan kesedaran kepentingan penglibatan dalam pilihan raya kepada penduduk Malaysia, khasnya para penuntut dan pemilih berdaftar.APR turut turun padang untuk memberi penerangan kepada petugas media berhubung perjalanan sistem pilihan raya di negara ini serta tatacara membuat liputan sepanjang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Pada taklimat berkenaan, akademi itu turut melakukan simulasi senario proses pengundian dan pengiraan undi yang dilakukan sepenuhnya di pusat mengundi di seluruh negara pada hari pengundian.
Sementara itu, Mohd Hashim berkata pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Perdana Menteri bagi menggunakan kuarters kerajaan yang tidak lagi digunakan untuk diubah suai sebagai tempat mengadakan kursus yang dikendalikan APR.
“Kuarters itu di Kuala Lumpur dan kita akan jadikan tempat itu sebagai tempat kita memberi latihan sebanyak mungkin kepada masyarakat, ” kata beliau.
-- BERNAMA
Sumber Akademi Pilihan Raya akan diperkasa - SPR