Judul : Misi kemanusiaan HALUAN tumpu aspek pendidikan anak-anak Rohingya
link : Misi kemanusiaan HALUAN tumpu aspek pendidikan anak-anak Rohingya
Misi kemanusiaan HALUAN tumpu aspek pendidikan anak-anak Rohingya
SEPANG: Misi Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) dalam memperkasakan aspek pendidikan dalam kalangan pelarian Rohingya yang tinggal di kem pelarian Cox's Bazar, Bangladesh, disifatkan berjaya.Misi yang disertai tiga anggota HALUAN itu bermula 24 Februari lalu dan berakhir 1 Mac, memfokuskan kepada penyediaan pendidikan serta penambahbaikan kemudahan yang terdapat di pusat pendidikan Village of Hope Educare Center di ASEAN Village.
ASEAN Village merupakan satu inisiatif yang dibangunkan dengan kerjasama NGO kemanusiaan dari beberapa negara ASEAN, di mana 120 orang anak-anak Rohingya mendapat pendidikan.
Tidak seperti pendidikan konvensional masyarakat Rohingya yang lebih menumpukan kepada pendidikan agama dan al-Quran, kem ini turut sama menawarkan subjek-subjek lain seperti Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.
"Pendidikan merupakan tumpuan utama kami."Melalui sumbangan yang diterima kami telah berjaya menambahbaik dan menyediakan pendidikan di pusat pendidikan (educare center) yang kini menempatkan kira-kira 120 anak-anak Rohingya berusia antara 7 hingga 11 tahun," kata Ketua Biro Misi Kemanusiaan HALUAN, Dr. Baharudin Suri, ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) dari Dhaka, hari ini.
Turut sama dalam misi itu ialah Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Abdul Rahman dan Pegawai Logistik, Haji Mubarak Ali Mohamad Ismail.
Antara projek penambahbaikan yang berjaya dilaksanakan kali ini ialah pemilihan silibus, buku teks, prasarana untuk pengajaran dan pembelajaran, serta latihan untuk tenaga pengajar.
Bukan itu sahaja, misi HALUAN kali ini juga memberi penekanan kepada aspek kebersihan apabila menyumbang kepada pembinaan 20 buah telaga air bersih di Kem Balukhali 1 dan 2, selain turut mengagihkan kit kebersihan diri kepada pelarian yang baru tiba di kem itu.
"Kami sangat menghargai sumbangan rakyat Malaysia selama ini, di mana keseluruhan sumbangan, termasuk melalui tabung Sinar4Rohingya, jumlahnya melebihi RM100,000.
"Sumbangan ini yang membantu kami dalam menjalankan misi kemanusiaan ini, dan besar harapan kami untuk melihat sokongan ini berterusan," kata Dr.Baharudin yang memaklumkan, misi bantuan seterusnya mungkin akan dijalankan Ramadan ini.
Mereka yang ingin memberikan sumbangan, boleh berbuat demikian menerusi:
Tabung Kebajikan dan Kemanusiaan HALUAN
Maybank 5622 6350 2611
Sumber Misi kemanusiaan HALUAN tumpu aspek pendidikan anak-anak Rohingya