Judul : Ibu tunggal mengaku tidak salah buat laporan lemas palsu
link : Ibu tunggal mengaku tidak salah buat laporan lemas palsu
Ibu tunggal mengaku tidak salah buat laporan lemas palsu
MARAN: Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan membuat laporan palsu kejadian lemas membabitkan dirinya, Januari lalu.Pengakuan Siti Rukiah Hassan, 37, direkodkan di hadapan Majistret Nur Syafiqah Noorida selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan dalam bahasa Melayu.
Tertuduh yang beralamat di Felda Jengka 14 di sini didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 4.30 petang, 21 Jan lalu di sungai berhampiran jambatan Felda 15 di sini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abdul Salam Yusof mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.Tertuduh yang tidak diwakili peguam pada prosiding itu merayu mahkamah mengurangkan jaminan sebanyak RM2,000 yang ditawarkan pendakwaan atas alasan dirinya sebagai ibu tunggal.
"Saya hanya menjual nasi lemak. Saya minta supaya jaminan saya dapat dikurangkan," katanya yang tenang sepanjang prosiding berlangsung.
Nur Syafiqah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 2 April depan untuk lantikan peguam.
-- BERNAMA
Sumber Ibu tunggal mengaku tidak salah buat laporan lemas palsu