Judul : Ibu hampir pengsan tengok jumlah sumbangan orang ramai
link : Ibu hampir pengsan tengok jumlah sumbangan orang ramai
Ibu hampir pengsan tengok jumlah sumbangan orang ramai
PONTIAN: “Saya hampir pengsan lihat akaun bank Aaira ada RM120,000,” kata Siti Zubaidah Abd Jalil 41 ibu kepada Siti Nur Aaira Ameera Mohd Mamdoh, 6 bulan yang mengalami penyakit kegagalan hati (billary atresia).Jelasnya, dia seakan tidak percaya melihat jumlah wang yang begitu banyak terkumpul dalam akaun Aaira dalam tempoh seminggu selepas kisahnya tular di media sosial dan mendapat liputan akhbar Sinar Harian.
Siti Zubaidah yang merupakan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Permas Kelapa cukup terharu dengan keprihatinan orang ramai yang menghulurkan sumbangan untuk membantu Aaira menjalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Renji, Shanghai, China.
“Hanya ALLAH SWT sahaja yang mampu balas jasa insan-insan yang memberikan sumbangan kepada Aaira.
“Sejak hari pertama kisah Aaira dipaparkan di media sosial, sudah ramai yang telefon dan hantar pesanan WhatApps kepada saya untuk bertanya khabar Aaira.
“Betapa prihatin rakyat Malaysia mahu membantu Aaira membuatkan saya menangis. Hari pertama sahaja RM2, 800 terkumpul dalam akuan Aaira dan sekarang sudah RM120,000,” katanya.Jelasnya dan suami, Mohd Mamdoh Isa, 45, yakin kos rawatan sebanyak RM250,000 yang diperlukan bagi rawatan anak bongsu dari lima beradik itu akan mencukupi sebelum mereka dijangka berlepas ke China pada akhir April nanti.
“Kami perlu segera ke China sebab doktor beritahu seeloknya pembedahan pemindahan hati dilakukan sebelum Aaira berusia setahun.
“Sekarang ini Aaira berusia 6 bulan jadi kami cuma ada masa 6 bulan untuk Aaira buat pembedahan di China,” katanya.
Ketika ditanya mengenai penderma hati Aaira, Zubaidah memberitahu doktor menyarankan supaya keluarga terdekat dapat menjadi penderma sekiranya dia dan suami tidak dapat menderma hati kepada Aaira.
“Nyawa sendiri pun saya sanggup bagi kepada anak saya itu. Pada 27 Mac ini saya dan suami akan menjalani pemeriksaan bagi penderma hati di Pusat Perubatan Universiti Malaya ( PPUM).
“Ayah dan ibu saya, Abdul Jalil Abdul Moin, 62 dan Fauziah Abu, 61 juga menyatakan kesediaan untuk membantu menderma hati mereka,” katanya.
Keadaan Aaira yang kerap merengek membuatkan Siti Zubaidah begitu risau dengan keadaan anaknya tambahan pula waktu tidur anak kecil itu begitu singkat tidak seperti kanak-kanak lain.
“Aaira bergantung sepenuhnya kepada susu formula khas yang hanya boleh dibeli di farmasi di Johor Bahru.
“Berat badannya kini hanya 4.9 kg sahaja di mana dia bergantung sepenuhnya kepada susu formula 400 gram berharga RM70 yang mampu bertahan selama 2 hari sahaja,” katanya.
Siti Nur Aaira dilahirkan normal pada 18 Ogos tahun lalu dikesan menghidap penyakit hati selepas demam kuning (juandis) berpanjangan.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh salurkan menerusi akuan CIMB Siti Nur Aaira Ameera Mohd Mamdoh, 7624 05481
Sumber Ibu hampir pengsan tengok jumlah sumbangan orang ramai