Judul : Suspek panjat kereta khayal syabu
link : Suspek panjat kereta khayal syabu
Suspek panjat kereta khayal syabu
KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang memanjat bumbung sebuah PERODUA Myvi di bulatan Jalan Pasir berhadapan Plaza Likas, di sini, disahkan berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian.
Suspek warga tempatan berusia 36 tahun itu dipercayai mengambil dadah sebelum kejadian, malah ujian saringan awal air kencing turut mendapati dia positif syabu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisiner M Chandra, berkata dalam kejadian jam 5.30 petang pada 28 Januari lalu, suspek yang berada dalam keadaan khayal keluar dari kereta dipandu rakannya sebelum melakukan kekacauan dengan menghalang lalu lintas di lokasi terbabit.
"Suspek kemudian memanjat bumbung sebuah PERODUA Myvi warna putih yang berhenti di bulatan Jalan Pasir sebelum ditangkap oleh orang awam di kawasan terbabit," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.
Chandra berkata, pada hari kejadian, anggota Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama bersama anggota Unit Ronda Bermotosikal (URB) diarahkan ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat berkaitan tangkapan lelaki terbabit.
BEG tangan serta kunci turut ditemui pihak polis selepas suspek mengaku terbabit dalam kes kecurian sebuah Toyota Hilux, di Kota Kinabalu. - Foto ihsan PDRM
Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek mengaku terbabit dalam kes curi sebuah Toyota Hilux bersama seorang rakannya yang masih bebas di tepi jalan sekitar Karamunsing, pada jam 10 pagi hari sama.
"Suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu direman sejak Isnin lalu hingga hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan," katanya.
Video suspek memanjat bumbung dan mengganggu lalu-lintas tersebar luas di laman sosial.
Gelagat seorang lelaki memanjat bumbung sebuah PERODUA Myvi di bulatan Jalan Pasir berhadapan Plaza Likas, Kota Kinabalu, tersebar luas di media sosial, baru -batu ini.
Suspek yang memanjat bumbung sebuah PERODUA Myvi di bulatan Jalan Pasir berhadapan Plaza Likas, Kota Kinabalu didapati positif dadah jenis syabu.
Sumber Suspek panjat kereta khayal syabu