Judul : Peniaga kerugian, lelaki order makanan sampai RM300 tiba-tiba lari: “Apa motif dia buat begini?”
link : Peniaga kerugian, lelaki order makanan sampai RM300 tiba-tiba lari: “Apa motif dia buat begini?”
Peniaga kerugian, lelaki order makanan sampai RM300 tiba-tiba lari: “Apa motif dia buat begini?”
Seorang peniaga kedai makan di Seremban 2, di sini masih tertanya-tanya tindakan seorang pelanggan tidak mengambil makanan yang ditempahnya sehingga menyebabkan dia kerugian hampir RM300.
Walaupun jumlah kerugian itu mungkin ada yang beranggapan tidak sebesar mana, namun bagi Umi Kalsom Osman, 40, dalam kejadian Selasa lalu, cukup mengujinya dalam menangani karenah pelanggan.
Menceritakan kejadian, Umi Kalsom berkata, kedainya didatangi seorang lelaki menaiki kereta Toyota Wish biru gelap dan menempah 13 set nasi bungkus beserta beberapa ekor ikan bakar.
Menurutnya, dalam sibuk menyediakan makanan yang ditempah, lelaki itu kemudian menambah lagi tempahan dua set daging bakar pula.
“Dia minta bermacam-macam jenis lauk. Katanya untuk 10 ke 12 orang makan. Antara menu yang diminta ialah ikan siakap bakar dua ekor, ikan cencaru bakar dan talapia. Semua ikan dan bahan mentah kedai saya adalah yang segar dan baru, bukan ikan lama.
“Sedang saya selesai membungkus, tiba- tiba anak saya beritahu lelaki tu dah pergi. Saya ingat dia pergi kedai belakang tetapi bila ditunggu, lelaki itu tak muncul-muncul sehinggalah ke malam,” katanya.
Menurutnya, akibat tindakan lelaki itu, dia kerugian sebanyak RM267.
Bagaimanapun, katanya, dia menjual kesemua nasi yang dibungkus itu dengan harga lebih murah, sekadar cukup untuk lepas modal.
“Alhamdulillah, ALLAH bantu saya yang teraniaya ini. Syukur sangat makanan yang tidak diambil itu habis terjual. Cukuplah sekadar lepas modal saya membeli keperluan lain untuk niaga esok hari,” katanya ketika ditemui di kedainya, semalam.
Umi bagaimanapun berkata, dia terkilan dengan lelaki berkenaan kerana tindakan itu bukan saja merugikan peniaga, malah menyebabkan pelanggan lain tidak dapat mengambil hidangan tersebut kerana sudah ditempah.
Bahkan, katanya, kejadian itu menjadi pengajaran buat dirinya.
“Kalau ada urusan lain pun, beritahulah. Tidaklah saya tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya apa niat sebenar lelaki itu,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Sumber Peniaga kerugian, lelaki order makanan sampai RM300 tiba-tiba lari: “Apa motif dia buat begini?”