Judul : Lapan Bintang Remaja Ini Bakal Bikin Havoc 2018
link : Lapan Bintang Remaja Ini Bakal Bikin Havoc 2018
Lapan Bintang Remaja Ini Bakal Bikin Havoc 2018
Siapa di antara artis remaja ini bakal meletop di tahun 2018? (Pic: Instagram artis)
Melihat kepada kecemerlangan yang dikecapi mereka pada tahun lalu serta permulaan yang baik di awal tahun 2018 ini, Rojak Daily Kaw! menyenaraikan lapan bintang yang dijangka terus mencipta sensasi pada tahun ini. Kena tahu, ini hanyalah senarai sahaja. Semuanya akan tetap bergantung pada usaha keras, rezeki dan sokongan peminat masing-masing.
8) Haqiem Rusli
Dikatakan mempunyai vokal seperti Hafiz Suip, jejaka ini dilihat mempunyai masa depan cerah dalam dunia nyanyian. Lagu Tergantung Sepi nyanyiannya juga menjadi siulan ramai dan mara ke peringkat akhir AJL-32. Malah dia juga berbakat dalam komposisi lagu. Karya ciptaan seperti Pesan (Irfan Haris) dan Tersiksa (Putera Band) masing-masing memperoleh tontonan tinggi di YouTube.
Selain itu, Haqiem turut menghasilkan lagu untuk Sufi Rashid (Aku Sendiri) dan Adly Sofwan (Sahabat) yang turut meraih jumlah tontonan tinggi di laman sosial berkenaan. Dia juga dijangka muncul dengan album menghimpun enam lagu tak lama lagi.
7) Nabila Razali
Single ketiga ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong, Pematah Hati jelas membuatkan populariti Nabila Razali mencanak naik. Segala-galanya dilihat tersusun kemas dan cantik buatnya. Lagu Pematah Hati sejujurnya telah mengubah nasibnya hingga menerima pendedahan meluas hingga mengumpul peminat baharu.
Video muzik lagu itu juga meneroka sayapnya sekali gus tular ke luar negara hingga dibikin parodi. Malah tagline Cumi Cumi juga diperkatakan. Lebih 2000 muat naik parodi lagu itu dilakukan di pelbagai platform termasuk di YouTube dan Instagram. Nabila juga berbakat sebagai pelakon dan pernah dikenali dengan drama Hikayat Cinta Si Pematah Hati bergandingan dengan Alif Satar.
6) Syafiq Kyle
Selepas lima tahun di persada seni, namanya ketika itu lebih menyerlah dengan sisi kontroversi. Bagaimanapun dia sejak beberapa tahun ini bangkit membuktikan bakat yang dimiliki wajar diberi perhatian.
Malah dia dilihat antara hero pelapis yang cukup pakej dan boleh pergi jauh jika kena percaturannya. Mencipta tuah tahun lalu bersama Hannah menerusi drama Mencintaimu Mr Photographer, kelibatnya masih dilihat akan terus diperlukan pada tahun ini.
5) Hannah Delisha
Gadis berdarah campuran dari Singapura ini mula memukau ramai apabila drama lakonannya, Mencintaimu Mr Photographer di samping hero kacak, Syafiq Kyle mencipta fenomena tersendiri. Tidak hanya bersandarkan wajah cantik semata-mata, gadis berdarah campuran kelahiran Singapura yang mencipta nama di Malaysia itu membuktikan bakatnya juga hadir setara. Seterusnya dia dilamar membintangi filem pertama Langsuir juga bersama Syafiq.
Filem sulungnya itu buat pertama kali menyaksikan dirinya menjadi hantu langsuir. Filem itu akan ditayangkan pada tahun ini. Apakah Hannah akan menjadi hantu cantik generasi baru selepas Maya Karin? Hannah juga berbakat sebagai penyanyi.
4) Farah Nabilah
Populariti yang diraih selepas drama lakonan Farah Nabilah, Titian Cinta mendapat sambutan hangat ketika disiarkan September tahun lalu. Menerusi drama itu dia bergandingan dengan Zul Ariffin.
Mula berlakon dengan memegang watak sampingan bermula 2011, hanya dua tahun lalu, bakat gadis berusia 25 tahun itu mula mendapat perhatian apabila diberi peranan utama dalam drama Inikah Cinta. Memiliki pakej menarik dia diramal terus sukses tahun ini.
3) Syamel
Dia dilihat lebih menyerlah berbanding juara Akademi Fantasia 2015, Sufi. Tiket menjadi Naib Juara bukan alasan atau penghalang untuk dia terus maju jaya. Mempunyai mutu vokal yang bagus selain kini semakin kurus membuat Syamel kian digilai. Tak hairan dia pernah dinobatkan sebagai Artis Baharu Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-22.
Malah ketika berganding dengan Ernie Zakri di pertandingan Duo Star mereka jadi juara. Di pertandingan AF Megastar pun dia dipilih sebagai The Ultimate Performer. Lagu duetnya dengan Ernie, Aku Cinta juga ke final Anugerah Juara Lagu ke -32 Februari ini.
2) Hael Husaini
Menjadi komposer dan penyanyi yang digilai ramai ketika ini. Penangan lagu Jampi yang juga single pertamanya dilancarkan awal tahun lalu ternyata membuatkan termometer popularitinya melonjak naik. Dia juga menjadi pilihan artis terkenal untuk membuat lagu. Contohnya seperti Dayang Nurfaizah, Siti Nordiana dan Jaclyn Victor.
Lagu Jampi turut melayakkan bapa angkat kepada Helena ini buat pertama kali mara ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-32. Selepas ini dia akan muncul mencipta lagu untuk Ayda Jebat, Amira Othman dan Datin Alyah. Dia dijangka tampil dengan single kedua tahun ini. Mampukah single itu mengatasi kehebatan Jampi yang disifatkan sebagai ‘masterpiece’ agungnya?
1) Khai Bahar
Dia dilihat antara bakat baru yang sangat berjaya tahun lalu. Sepuluh trofi yang mampu digenggam bagai menjadi isyarat, dia benar-benar mahu serius di pentas seni. Setahun setengah bergelar artis, dia pernah memenangi kategori Artis Baru Meletop pada Anugerah Meletop Era 2017 pada April, manakala menerusi Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 pada Mei pula, beliau pulang dengan dua trofi iaitu Artis Baharu Lelaki Popular dan Penyanyi Lelaki Popular.
Tak hanya di situ, pada Anugerah Planet Muzik 2017 (APM) di Singapura, penyanyi yang mula terkenal menerusi aplikasi Smule itu muncul pemenang kategori Lagu Paling Popular APM (menerusi lagu Bayang) dan Artis Paling Popular APM 2017. Seterusnya, Khai membawa pulang lima trofi daripada program Top Hot 2017 anjuran stesen radio Hot FM.
Single barunya, Luluh, diumumkan sebagai Lagu Hot 2017 yang membolehkannya menjulang tiga trofi, masing-masing untuk penyanyi, pencipta dan penulis lirik. Lagu berkenaan dicipta sepenuhnya sendiri. Dia juga menerima trofi bagi kategori Penyanyi Lelaki Hot 2017 dan FB Live Hot 2017, yang menggandingkannya dengan seorang lagi penyanyi baharu, Wany Hasrita.
Kredit Gambar: Instagram artis
Sumber Lapan Bintang Remaja Ini Bakal Bikin Havoc 2018