Judul : KFA sedia tambah tempat duduk penyokong NS
link : KFA sedia tambah tempat duduk penyokong NS
KFA sedia tambah tempat duduk penyokong NS
ALOR SETAR : Pihak Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sedia mempertimbangkan permohonan tempat duduk tambahan oleh penyokong Negeri Sembilan untuk perlawanan Piala FA di Stadium Darul Aman Jumaat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tiket dan Pintu Masuk Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Shaharol Niza Omar berkata, ruang khas kepada penyokong pelawat di kawasan T4 di Stadium Darul setakat ini mampu menempatkan hampir 1,000 penyokong.
"Maka pihak KFA menyambut baik kedatangan penyokong Negeri Sembilan ke sini dan sekiranya ada permintaan tambahan jumlah tempat duduk, pihak Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) boleh membuat permohonan terus kepada KFA.
"Kita juga akan meningkatkan aspek keselamatan dimana kali ini 10 pengawal 'marshal' akan ditugaskan khusus di dalam stadium.
"Selain itu seramai 30 marshal juga akan ditugaskan pada hari perlawanan dan kita menjangkakan seramai 25 ribu penyokong bakal hadir menyaksikan perlawanan 'kalah mati' aksi perlawanan Piala FA ini," katanya.
Mengulas mengenai jualan tiket, Shaharol Niza berkata pihak KFA telah menetapkan dua sesi jualan akan berlangsung bermula dengan sesi pertama dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari dan bersambung untuk sesi kedua bermula 3 petang hingga 9.30 malam.
"Selain di kaunter perkarangan Stadium, pihak KFA juga akan membuka kaunter di Muzium Negeri Kedah yang terletak di hadapan Stadium Darul Aman bagi mengelak kesesakan memandangkan Ekspo Muafakat Kedah juga sedang berlangsung di perkarangan Stadium Darul Aman.
"Empat kaunter jualan yang terdiri dari A, B, E dan Muzium Kedah akan beroperasi seperti yang dirancangkan dan cuma satu laluan di kaunter B disediakan untuk pemegang Kad KFA Priority Members (KPM).
"Dua kategori tiket iaitu Astaka lama dan Ruang terbuka masing masing berharga RM20 dan RM10 boleh didapati di semua kaunter," katanya.
Bagi mengelakkan kesesakan, Pihak KFA juga akan membuka pintu masuk ke ruang menonton lebih awal iaitu pada pukul 6 petang berbanding 6.30 petang kebiasaannya.
"Saya amat berharap penyokong yang ingin mendapatkan tiket terutama penyokong dari daerah jauh seperti Kulim Bandar Baharu, Sik, Baling dan Sungai Petani Selatan membuat perancangan awal dengan mendapatkan tiket lebih awal agar dapat mengelak kesesakan saat akhir," katanya.
Sumber KFA sedia tambah tempat duduk penyokong NS