Judul : Jiwa tenang di Makkah - Sahara Yaacob
link : Jiwa tenang di Makkah - Sahara Yaacob
Jiwa tenang di Makkah - Sahara Yaacob
MAKKAH: Penyanyi veteran, Sahara Yacob, 61, menangis teresak-esak sebaik menatap Baitullah ketika melakukan ibadat umrah di sini, malam kelmarin.
Rasa sayu di hati Sahara turut menyelubungi 22 penggiat seni lain yang menyertai Program Umrah Penggiat Seni. Mereka tiba di kota Makkah untuk mengerjakan umrah, Isnin lalu selepas lima hari berada di Madinah.
Sahara berkata, perasaan bercampur baur antara takut, syahdu dan berdebar-debar mula menghantui dirinya sejak menerima undangan ke Tanah Suci.
"Saya seperti tidak percaya dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah. Selama ini, saya tidak pernah bermimpi mampu menatap Baitullah di hadapan mata.
"Kesengsaraan hidup membuatkan saya tidak pernah terfikir menjadi tetamu Allah. Syukur, impian yang sekian lama terpendam dalam hati akhirnya dimakbulkan Allah," katanya kepada BH Online.
Program menghantar penggiat seni merangkumi penyanyi, pelakon, pengarah dan penulis daripada Persatuan Penulis Nasional (PENA) ke Makkah serta Madinah dijayakan atas kerjasama Pejabat Penasihat Perdana Menteri, Yayasan Perdana Ummah dan Yayasan Mustika Kasih.
Program julung kali diadakan itu adalah hasil cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada majlis berbuka puasa bersama penggiat seni di kediamannya, Ramadan tahun lalu.
Sahara berkata, dia reda walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda untuk menyempurnakan rukun umrah seperti tawaf dan saie.
"Saya tidak mampu berjalan jauh kerana ada masalah saraf di kaki. Jadi, saya perlu menggunakan khidmat pembantu untuk menyorong kerusi roda. Alhamdulillah, jemaah lain seperti membuka laluan untuk saya, segala-galanya dipermudahkan.
SAHARA (kiri) dan penyanyi era 1980-an, Zaiton Sameon menunaikan ibadat umrah di Makkah. - Foto Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
"Paling seronok, saya rasa seperti dekat dengan Allah ketika tiba di Rukun Hajarul Aswad dan mengangkat tangan sambil membaca Bismillahi Allahuakhbar.
"Jiwa tenang dan tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Saya mengaku sepanjang melakukan tawaf saya menangis teresak-esak mengenangkan dosa yang pernah dilakukan. Allah tidak kejam dan menerima saya sebagai tetamuNya," katanya.
Tambah Sahara, dia terus pulang ke hotel sejurus selesai melakukan ibadat umrah.
"Saya tidak mahu bercakap atau memandang siapa lagi, saya mahu terus pulang ke bilik. Satu perasaan yang saya tidak mampu luah dengan kata-kata, saya seperti mendapat kepuasan total apabila dapat bercakap dengan Allah.
"Sepanjang tawaf terakhir hingga saie, ada ketika fikiran saya melayang-layang dan hilang seketika. Mungkin kerana ketakjuban dan keterujaan saya menatap Kaabah," katanya.
Selain Sahara, antara penggiat seni lain yang turut mengikuti program itu adalah Zaiton Sameon, Zaleha Hamid, Aida Agil, Shima, Kamaliah Mat Dom, Ayati Tasrip, Lan Zailan, Ibnor Riza, Sulaiman Yassin dan Halil Chik.
Turut serta Hamid Gurkha, Harun Hashim, Mat London, Amith Abidin, Baharuddin Kahar dan Tawil.
Sumber Jiwa tenang di Makkah - Sahara Yaacob