Judul : Ingatkan ikan pari, rupanya dron seberat 50kg tersangkut di jaring
link : Ingatkan ikan pari, rupanya dron seberat 50kg tersangkut di jaring
Ingatkan ikan pari, rupanya dron seberat 50kg tersangkut di jaring
NELAYAN pantai menemui dron seberat kira-kira 50 kilogram yang tersangkut di jaring yang dipasang untuk menangkap ketam di perairan Nenasi, Pekan, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, Mat Daut Musa, 36, bersama isterinya, Hawa Ishak, 34, turun ke laut untuk menarik jaring yang dipasangnya namun mendapati jaringnya terlalu berat untuk ditarik.
“Pada mulanya saya menyangka ikan pari yang tersangkut di jaring ini kerana ia terlalu berat, namun sebaik menariknya saya lihat dron berbentuk pesawat berwarna putih timbul di permukaan air.
“Panik dengan penemuan hampir saja tangan saya terlepas pegangan jaring itu, namun isteri sempat menegur dan mencadangkan untuk membawanya ke jeti,” katanya, hari ini.
Katanya, sebelum ini dia ada mendengar kejadian dron terhempas ke dalam laut di daerah ini namun, tidak menyangka dia menjadi individu yang menemuinya.
Dia berkata, keadaan laut yang bergelora mungkin menyebabkan dron berkenaan hanyut dan tersangkut pada jaring yang dipasangnya.
Menurutnya, beberapa bahagian sayap dan badan pesawat kecil itu terdapat banyak teritip serta lumut dan dia menganggarkan pesawat yang menggunakan minyak itu mungkin sudah berada dalam laut lebih tiga bulan sebelum dijumpai.
“Atas nasihat dan bantuan isteri saya mengambil keputusan membawa balik dron walaupun terpaksa berhadapan ombak besar ketika itu, saya mengambil masa lebih 45 minit untuk sampai ke jeti.
“Pesawat terbabit tidak banyak mengalami kerosakan kecuali sedikit rekahan pada bahagian sayap, ini kali pertama saya melihat pesawat tanpa pemandu bersaiz besar dengan panjang sayapnya kira-kira tiga meter,” katanya yang menetap di Kampung Serun Jalan Pekan-Rompin.
Beliau berkata, itu kali pertama dia menemui benda asing tersangkut pada jaringnya selama lebih 10 tahun menjadi nelayan pantai di perairan Nenasi dan Merchong.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Amran Sidek berkata, pihaknya sudah menerima laporan penemuan dron itu dan pesawat terbabit akan dipulangkan kepada pemiliknya selepas siasatan dijalankan.
Sumber: Metro
Sumber Ingatkan ikan pari, rupanya dron seberat 50kg tersangkut di jaring