Judul : Tze Wei, Fatin Olahragawan, Olahragawati Sabah
link : Tze Wei, Fatin Olahragawan, Olahragawati Sabah
Tze Wei, Fatin Olahragawan, Olahragawati Sabah
KOTA KINABALU: Atlet karate, Ricky Leong Tze Wei dan pemanah kebangsaan Fatin Nur Fatehah Mat Salleh dinobatkan Olahragawan dan Olahragawati bagi tahun 2015/2016 pada Anugerah Sukan Negeri Sabah kali ke-28 yang berlangsung, di sini, malam tadi.
Dua atlet negara itu mengulangi pencapaian mereka, dua tahun lalu apabila turut menerima anugerah sama susulan pencapaian cemerlang kepada Sabah dan Malaysia bagi tahun 2013/2014.
Anugerah Olahragawan itu juga adalah yang ketiga berturut-turut bagi Ricky, 29 selepas turut meraih gelaran sama bagi tahun 2011/2012.
Antara pencapaiannya sepanjang tahun 2015/2016 termasuk memenangi pingat emas untuk negara di kejohanan Liga Premier 1 Karate Dunia 2015 dan Kejohanan Karate Do Asia Tenggara kali ke-4.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin (dua dari kiri) diiringi Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman (kiri) bersama Atlet Karate, Ricky Leong Tze Wei dan Atlet Memanah, Fatin Nurfatehah Mat Salleh selepas dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Terbaik bagi tahun 2015/2016 pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah kali ke-28 di Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting
Selain itu, Ricky turut memenangi dua pingat perak untuk Malaysia di Kejohanan Karate Terbuka Al-Ahli Dubai serta Kejohanan Karate Do Asian kali ke-13 dan kini berada pada ranking ke-10 dunia.
Sementara itu, antara pencapaian yang dicapai Fatin sepanjang 2015/2016 ialah memenangi pingat emas di beberapa kejohanan berasingan iaitu Kejohanan Memanah Piala Dunia Tahap 1, Sukan Universiti Asia Tenggara 2016, Kejohanan Antarabangsa Terbuka UPM dan Piala Asia Tahap 2 selain memenangi gangsa di Kejohanan Memanah Dunia Universiti 2016.
Dalam perkembangan lain, Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Harapan masing-masing dimenangi Muhammad Shauqi (memanah) dan Marceeta Marylin Marcus (angkat berat) manakala bagi Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Terbaik dimenangi Didin Terasoh (badminton) serta Felicia Mikat (olahraga).
Pasukan ragbi Sabah pula memenangi Anugerah Pasukan Lelaki Terbaik manakala skuad sepak takraw muncul penerima Anugerah Pasukan Wanita Terbaik.
Lain-lain penerima ialah Tony Sawan (Jurulatih Terbaik), Kesatuan Ragbi Sabah (Persatuan Sukan Terbaik), Awang Kinit (Kepimpinan Sukan).
Dalam pada itu, Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman yang sebelum menyampaikan anugerah kepada kesemua pemenang turut menerima Anugerah Tokoh Sukan Sabah.
Yang turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Sumber Tze Wei, Fatin Olahragawan, Olahragawati Sabah