Judul : Harap ayah, rakan memancing ditemui selamat
link : Harap ayah, rakan memancing ditemui selamat
Harap ayah, rakan memancing ditemui selamat
YAN: "Memang hobi ayah memancing. Setiap hujung minggu, pasti dia keluar memancing, tak sangka hobi itu mungkin bawa musibah," kata Nur Hanis Muhd Salihin, 24.
Nur Hanis adalah anak Muhd Salihin Ibrahim, 52, seorang daripada tujuh yang dilapor hilang bersama tekong bot ketika memancing di perairan barat Pulau Bunting, di sini, kelmarin.
"Ayah memang minat memancing dan sudah menjadi rutinnya keluar memancing setiap hujung minggu bersama rakan.
"Dia tak maklumkan tempat memancing kepada kami. Setahu saya, dia keluar jam 3 pagi Ahad lalu.
"Biasanya dia akan kemas barang seperti baju, alatan memancing dan memasak bekal sebelum keluar. Namun pada hari itu, dia hanya kemas baju," katanya.
Nur Haniz yang ditemui di pusat operasi di jeti Kuala Sala, di sini hari ini, berharap bapanya dan lima yang lain dapat ditemui dalam keadaan selamat.
Katanya, mereka sekeluarga mengetahui kejadian itu daripada rakan ayahnya yang datang ke rumah, kira-kira jam 5.30 petang semalam.
"Kami bergegas ke Balai Bolis Taman Seruling Emas di Pulau Pinang untuk maklumat lanjut. Hari ini kami ke pusat operasi mencari dan menyelamat ini untuk menunggu berita tepat.
"Banyak maklumat tersebar di laman sosial, tetapi kami enggan percaya selagi belum dapat pengesahan pihak berkuasa," katanya.
Dalam kejadian itu, bot membawa seorang tekong dan enam pemancing dilapor hilang selepas enjinnya rosak kira-kira jam 8 malam kelmarin.
Lokasi terakhir dikesan ialah 13 batu nautika barat Pulau Bunting.
Mereka yang hilang adalah tekong bot, Kharulanuar Arsad bersama pemancing, Mohd Salihin, Mohamad Ramli, 57; Mohamad Nazri Abdul Hamid, 47; Azmi Raif Mohd Noh dan Ah Onn.
Identiti seorang lagi bagaimanapun belum dikenal pasti.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi Pangkalan Maritim Kuala Kedah, Leftenan Maritim Hairilizhar Norazmi, berkata operasi hari ini disambung semula jam 7 pagi tadi.
"Lokasi pencarian diperluaskan kepada 210 batu nautika dari kedudukan terakhir bot itu dikesan malam kelmarin.
"Operasi membabitkan sebuah bot milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) iaitu Penggalang 35 dan pesawat Bombardier CL415.
"Ia juga dibantu dua bot milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta bot nelayan," katanya.
Sumber Harap ayah, rakan memancing ditemui selamat