Judul : Nasi tumpang istimewa Kelantan di My31 Kueh
link : Nasi tumpang istimewa Kelantan di My31 Kueh
Nasi tumpang istimewa Kelantan di My31 Kueh
KUALA LUMPUR, 2 April — Kelantan memang dikenali syurga makanan kerana mempunyai pelbagai hidangan unik yang menarik dan sedap.
Makanan istimewa negeri Cik Siti Wan Kembang itu termasuklah nasi tumpang, hidang tradisi yang dibungkus dengan daun pisang dalam bentuk kon .
Buat warga Kelantan dan penggemar nasi tumpang, yang bercampur lauk, ia kini boleh didapati di kafe My31 Kueh milik Azrin Abdullah.
“Nasi tumpang dan beberapa kuih lain memang kita ambil setiap hari dari Kelantan,” katanya kepada ProjekMMO baru-baru ini.
“Ia sebenarnya lebih kurang nasi himpit dengan lauk seperti udang, telur dan serunding. Bagi yang rindu atau mahu cuba, datanglah ke kedai kami.”
Dibuka mulai Ogos 2016, My31 Kueh menjual sebungkus nasi ini RM5.50.
Mereka juga menjual kira-kira 40 jenis kuih dari Kelantan, antaranya akok, puteri mandi, tahi itik, pulut pagi, tepung gomok, beko dan nona manis.
Sebiji kuih dijual 50 sen. Ada juga yang dijual dalam paket lima biji dengan harga RM2.50 hingga RM3.50.
Azrin, 40, mendapat idea menjual kuih ketika membuat kerja sosial korporat Petronas membantu mangsa banjir besar di Kelantan pada Disember 2014.
“Waktu di Kelantan itu, saya tengok ramai makcik pakcik hantar kuih dan makanan ke satu tempat untuk dijual,” kata bekas vendor syarikat itu.
“Jadi saya terfikir untuk buat perkara sama di Selangor.”
Selain Kelantan, tambahnya, bekalan makanan juga diperoleh dari ibu tunggal dan anak yatim sekitar Batu Caves.
My31 Kueh juga menjual 20 jenis nasi bungkus seperti nasi kerabu, nasi air dingin dan nasi berlauk.
Ia dibuka setiap hari dari 6.30 pagi hingga 6 petang. Pada Jumaat, ia dibuka separuh hari hingga 1 tengah hari.
Alamat lengkapnya: 67 Jalan SG 3/1 Taman Sri Gombak, Batu Caves. Lihat aplikasi peta Google dan Waze dengan menaip My31 Kueh.
Boleh juga menghubungi 013 366 8850 atau semak Facebook My31 Kueh.
Sumber Nasi tumpang istimewa Kelantan di My31 Kueh