Judul : Cendol sagu bukan saja sedap tapi mengenyangkan
link : Cendol sagu bukan saja sedap tapi mengenyangkan
Cendol sagu bukan saja sedap tapi mengenyangkan
KUALA LUMPUR, 30 April — Cendol antara makanan popular di Malaysia. Bahan makanan itu biasanya terdiri daripada cendol hijau yang dibuat dari tepung beras atau jagung.
Tapi jika anda mahukan kelainan, boleh cuba cendol dengan isi sagu di Jalan Labu, 23 minit dari pusat bandar Seremban.
Cendol Sagu Rumbia milik Rohaisham Mohd Tahar, 51, dibuka sejak 2014 dan satu-satunya warung yang menjual hidangan itu.
Rohaisham, mesra disapa Echam membuka perniagaan itu supaya makanan tradisi negeri Darul Khusus kekal dan tidak pupus.
“Dulu-dulu sagu ini makanan ruji orang kampung menggantikan nasi, sebab ia mengenyangkan tapi sekarang tidak lagi. Itulah puncanya saya buka Cendol Sagu Rumbia,” katanya kepada ProjekMMO.
Berpengalaman membuat cendol sagu sejak 2001, Echam menebang sendiri pokok rumbia berhampiran rumahnya.
Setiap minggu, beliau menebang sebatang pokok dengan ketinggian hampir 10 meter dan dijadikan 10 kecil untuk dibuat sagu.
“Proses pembuatan sagu kami buat sendiri, sama seperti memerah santan biasanya tapi patinya dibiarkan sejam dan proses pengeringan makan masa dua hari,” kata bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia.
“Cendol sagu lebih enak dari yang biasa kita makan kerana tekstur yang kenyal, aroma yang menarik dan paling penting mengenyangkan”.
Disediakan hanya bersama ais, gula Melaka dan santan, semangkuk berharga RM2.50, sama ada makan di warung atau bungkus.
Mereka juga menjual kuih-muih seperti cucur badak, popia basah, karipap sardin, biskut bangkit sagu dan laksa dengan harga serendah 50 sen.
Terletak di tepi jalan, Cendol Sagu Rumbia dibuka tiga hari seminggu pada Jumaat hingga Ahad, dari 11 pagi hingga 6 petang.
Untuk ke sini, anda boleh semak aplikasi Waze dan peta Google dengan menaip Cendol Sagu Rumbia.
Warung hanya 2 minit dari Masjid Kariah Kampung Pulau Lambar dan berdekatan Klinik Desa Kampung Pulau.
Jika ada sebarang pertanyaan boleh hubungi 018 946555 atau semak Facebook: Echam Cendol Sagu Rumbia.
Sumber Cendol sagu bukan saja sedap tapi mengenyangkan