Judul : Malaysia 'lubuk emas' pekerja asing
link : Malaysia 'lubuk emas' pekerja asing
Malaysia 'lubuk emas' pekerja asing
KUALA LUMPUR, 29 April — Kerancakan pembangunan ekonomi Malaysia ditambah dengan suasana aman serta makmur menjadikan negara ini “lubuk emas” khususnya dalam kalangan pekerja asing.
Ada sesetengah daripada mereka sehinggakan sanggup meredah lautan luas dengan ombak yang mengganas menggunakan sekadar bot yang serba-serbi kekurangan, kerana yakin dapat mencari rezeki di negara ini.
Malah ada yang merantau bertahun-tahun meninggalkan keluarga serta sanak saudara semata-mata mahu mengumpul wang demi hasrat memberi kehidupan yang lebih baik kepada keluarga yang jauh di kampung halaman.
Menurut laporan Bernama Julai 2017, Kementerian Dalam Negeri dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat menyatakan sehingga 30 Jun, 2017, terdapat lebih 1.78 juta pekerja asing dari 13 negara sah direkodkan oleh Jabatan Imigresen.
Pekerja Indonesia adalah yang tertinggi iaitu 728,870 orang, diikuti Nepal (405,898), Bangladesh (221,089), Myanmar (127,705), India (114,455), Pakistan (59,281), Filipina (56,153), Vietnam (29,039), China (15,399), Thailand (12,603), Sri Lanka (5,964), Kemboja (5,103) dan Laos (39).
Sempena sambutan Hari Pekerja yang diraikan pada 1 Mei ini, Bernama menemubual dua warga asing yang bukan sahaja berpeluang menimba ilmu di negara ini, malah kemudiannya mengorak langkah untuk menjadi usahawan, hasil daripada dasar kerajaan Malaysia yang memungkinkan mereka meraih kejayaan di negara ini.
Sebut sahaja nama Chef Ammar, pasti ramai yang pernah menonton program masakan beliau yang disiarkan stesen televisyen tempatan.
Chef selebriti ini sebenarnya sudah berada di Malaysia sejak 1985 untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perhotelan di sebuah kolej di Kuala Lumpur dan tidak menyangka keputusan untuk datang ke negara ini sebenarnya langkah permulaan untuk beliau menjadikan negara ini lubuk rezeki.
Anak kelahiran Palestin ini sudah pergi ke banyak negara tetapi bagi beliau, Malaysia adalah yang paling istimewa kerana terdapat banyak peluang untuk mencari pelbagai cabang rezeki.
Chef Ammar yang fasih berbahasa Melayu berkata sikap masyarakat negara ini yang mesra serta hidup bersatu padu adalah juga antara sebab mengapa beliau jatuh cinta dan kembali ke Malaysia.
Beliau juga berasa hairan apabila ada segelintir rakyat negara ini lebih gemar mencari pekerjaan di tempat lain.
Walhal, banyak peluang pekerjaan dan sumber rezeki terbentang luas di depan mata mereka dan nikmatnya itu turut dirasai beliau.
“Syukur, kita ada banyak nikmat di negara ini. Persoalannya, bagaimana kita hendak dapatkan rezeki dan itulah yang penting. Semuanya perlu bermula dalam diri masing-masing iaitu kena rajin cari peluang, tidak putus asa dan bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan.
“Malaysia ini lombong emas dan untuk mendapatkannya, ia perlu diiringi dengan usaha,” katanya.
Turut berkongsi pandangan Chef Ammar ialah Nordin Abdullah, 49, Pengarah Urusan sebuah syarikat perunding, Glenreagh Sdn Bhd yang juga Pengasas Pusat Pengurusan Krisis.
Anak kelahiran Sydney, Australia ini dan fasih berbahasa Melayu datang ke negara ini ketika berusia 17 tahun kerana mengikuti keluarganya.
“Saya cukup kagum dengan pencapaian negara yang pernah dijajah pada suatu masa dahulu dan akhirnya berjaya berdikari dan mencipta banyak kemajuan hasil daripada kepimpinan kerajaan sekali gus memberi manfaat kepada semua,” katanya.
Pencapaian yang sangat hebat itu membuatkan anak sulung daripada 14 beradik ini yakin Malaysia adalah pilihan yang terbaik untuk beliau meneroka bidang perniagaan.
Malahan, beliau turut kagum dengan pelbagai kemudahan infrastruktur yang lengkap seperti jaringan sistem pengangkutan awam yang menghubungkan setiap destinasi di Malaysia, kelajuan peningkatan pencapaian Internet, penambahbaikan jaringan jalan raya yang membantu melancarkan urusan bisnesnya.
Bagi Nordin, kekayaan sumber dan pelbagai kemudahan inilah yang menjadikan Malaysia sebagai tarikan ramai pekerja asing yang sanggup meninggalkan negara masing-masing untuk bekerja di negara ini selain kos sara hidup yang murah berbanding negara lain.—Bernama
Sumber Malaysia 'lubuk emas' pekerja asing