Judul : Calon tempatan diketepi, PH Kuala Ketil bergolak
link : Calon tempatan diketepi, PH Kuala Ketil bergolak
Calon tempatan diketepi, PH Kuala Ketil bergolak
BALING, 30 April — Pakatan Harapan (PH) kawasan Kuala Ketil kini bergolak apabila anggota dan penyokong mereka sepakat menolak Mohamad Sofee Razak sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Anggota Jawatankuasa PH Baling Mohd Azmi Mohamed Amin berkata mereka menentang calon itu kerana beliau merupakan calon luar yang tidak mendapat persetujuan peringkat akar umbi.
“Kami kesal dengan apa yang berlaku apabila pihak tertinggi meletakkan calon luar dan menyingkir calon tempatan Rozaini Mad Isa iaitu ketua cabang PKR Baling yang telah lama berkhidmat di DUN ini.
“Kami pertikaikan pelantikan itu kerana mereka tidak berbincang dengan kami dahulu,”katanya pada sidang media yang turut dihadiri anggota parti-parti lain PH di sini, hari ini.
PH menamakan Mohamad Sofee untuk bertanding kerusi DUN Kuala Ketil bagi menentang calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Khairul Azhar Abdullah dan calon PAS Mohamad Mansor Zakaria.
Pada PRU13, calon PAS Md Zuki Yusof memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,154 undi.
Mohd Azmi yang juga setiausaha PKR Baling berkata sebanyak 21 daripada 24 Jajahan Daerah Mengundi (JDM) di DUN itu juga tidak mengaktifkan bilik gerakan masing-masing kerana kecewa dengan senario itu.
“Kami telah membuat bantahan semasa pengumuman penamaan calon oleh Presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail namun, tidak mendapat sebarang maklum balas sehingga sekarang.
“Sampai sekarang, kepimpinan tertinggi dan calon itu tidak pernah datang berjumpa kami. Sepatutnya, dia (calon tersebut) berasa malu kerana sebagai orang luar,dia tidak berjumpa (kami) tuan rumah,” katanya.
Mohd Azmi berkata beliau rela sekiranya kepimpinan tertinggi PH mengambil tindakan disiplin termasuk memecat keanggotaannya tetapi mereka perlu berdepan dengan ribuan anggota yang bersama-sama dengannya dalam isu itu.
Terdapat kira-kira 3,000 anggota PKR di DUN Kuala Ketil, katanya.
Beliau turut menafikan dakwaan sidang media itu ‘ditaja’ pihak tertentu sebaliknya diadakan atas perbincangan semua pihak termasuk akar umbi penyokong di kawasan Kuala Ketil. — Bernama
Sumber Calon tempatan diketepi, PH Kuala Ketil bergolak