Judul : ‘Avengers: Infinity War’ – Segala tentangnya adalah mega
link : ‘Avengers: Infinity War’ – Segala tentangnya adalah mega
‘Avengers: Infinity War’ – Segala tentangnya adalah mega
SOAL letih dan lesu dengan penerbitan filem-filem adaptasi komik terutama terbitan Marvel Studios bukanlah satu isu besar seandainya anda adalah peminat tegar.Walaupun ada segelintir pihak yang melihat trend mengadaptasi komik ke layar perak sudah menjadi tepu, mahu atau tidak, harus diakui bahawa hanya dengan cara itu sahajalah Hollywood secara amnya akan terus hidup.
Sementelah sudah menerbitkan 19 buah filem adiwira di bawah payung Marvel Cinematic Universe (MCU) sejak 2008, memang tidak boleh dinafikan kehebatan Marvel Studios kerana telah berjaya menjadi studio filem terhebat di Amerika Syarikat.
Dengan jumlah keseluruhan kutipan pecah panggung berjumlah AS$14.8 billion, MCU kini menjadi francais filem terlaris di dunia sepanjang zaman.
Dan, jumlah itu akan terus berlipat ganda apabila filem Avengers: Infinity War atau ringkasannya, Infinity War yang memulakan tayangan umumnya hari ini (26 April) diramal akan menjadi filem terlaris untuk tahun ini.
Untuk rekod, Infinity War merupakan filem susulan daripada dua buah filem terdahulu, Avengers: Age of Ultron (2015) dan The Avengers (2012) masing-masing telah mencatatkan kutipan melebihi AS$1 billion di seluruh dunia pada tahun tayangannya.
Bukan hanya pada angka, tetapi kedua-dua filem The Avengers telah mendapat ulasan positif daripada pengkritik dan wartawan filem di Amerika Syarikat. Malah, filem pertama The Avengers juga berada dalam senarai filem kegemaran penulis manakala sekuelnya pula untuk penulis, tidak begitu berbekas di hati walaupun ia bukanlah sebuah filem yang teruk.
Jujurnya, penulis begitu bimbang apabila Marvel Studios mahu menghimpunkan hampir 20 watak adiwiranya dalam Infinity War. Kebimbangan itu lebih ke arah keseimbangan watak dan cerita yang mungkin akan kelihatan caca-marba.
Disebabkan itu, penulis melabelkan Infinity War sebagai filem bersifat mega (bukan hanya pada barisan pelakon tetapi kos penerbitannya juga) yang didedikasikan khas buat peminat tegar MCU yang mahu melihat kisah Infinity War dizahirkan ke layar perak.
Pun begitu, Infinity War telah memberikan satu persembahan yang penulis letakkan sebagai sukses dalam menterjemahkan sebuah kegemilangan jenama yang kuat sebagai tanda bahawa MCU akan terus mara ke hadapan.
Filem arahan adik-beradik, Anthony dan Joe Russo ini tidak lagi memberi tumpuan kepada mana-mana adiwira untuk muncul sebagai jaguh. Sebaliknya, setiap watak diberikan peluang walaupun tidak sama rata untuk menonjol dengan kelebihan dan juga kekurangan masing-masing.
Dalam konteks ini, penulis merujuk kepada watak Doctor Strange (lakonan bekas calon Oscar, Benedict Cumberbatch) yang telah memberikan satu persembahan yang penulis kira akan membuka mata peminat serta penonton bahawa kuasa yang dimilikinya bukan calang-calang.
Benar. Jika diukur kepada populariti, Doctor Strange barangkali bukanlah dalam kelompok adiwira popular seperti Iron Man, Captain America, Thor, Hulk mahupun Spider-Man tetapi terjemahan watak berkenaan dalam Infinity War telah mencuri perhatian.
Secara tidak langsung, Doctor Strange kini menjadi watak adiwira kegemaran penulis selepas menyaksikan bagaimana wataknya dikembangkan dalam Infinity War lalu mengukuhkan kenyataan Presiden Marvel Studios, Kevin Feige yang menyatakan watak berkenaan akan memberikan impak tersendiri.
Kejayaan itu membuatkan penulis berfikiran bahawa Doctor Strange bakal diberikan kedudukan yang istimewa dalam fasa MCU yang seterusnya biarpun filem sekuelnya masih belum diumumkan.
Begitu juga dengan watak Thor (Chris Hemsworth) yang penulis sifatkan sebagai sirih pulang ke gagang selepas wataknya dikurangkan seriusnya dalam Thor: Ragnarok (2017). Ditambah pula, jalan cerita Infinity War juga mengambil garis masa selepas malapetaka yang berlaku dalam Thor: Ragnarok.
Di sebalik masalah dan kelemahan yang dimilikinya, Thor membuktikan bahawa dia masih memiliki kuasa dan sekaligus mempamerkan kehebatannya sebagai dewa guruh yang sebenar dalam Infinity War.
Dari sudut cerita dan lakon layar yang dihasilkan oleh Christopher Markus dan Stephen McFeely ini, Infinity War masih dapat mengekalkan keseimbangan cerita berkenaan biarpun ada waktu dan ketika, beberapa babak dilihat sebagai tidak perlu dan tidak menjejaskan jalan cerita jika ditiadakan.
Tidak terletak kepada keseimbangan cerita tetapi ia juga seimbang dari sudut mood apabila penonton juga boleh ketawa dan terhibur tetapi dalam masa yang sama, fokus dengan babak aksi dan menjadi serius dalam Infinity War.
Ditambah pula, titik fokus Infinity War adalah tentang watak antagonis, Thanos (lakonan bekas calon Oscar, Josh Brolin) yang mencari batu berharga mewakili lima unsur di lokasi berbeza untuk menjadikannya berkuasa dan seterusnya menghapuskan kehidupan di seluruh alam.
Justeru, cerita Infinity War juga mewakili latar belakang dan masa yang berbeza sebagai tuntutan daripada cerita yang diinspirasikan daripada dua buah komik, Infinity (2013) dan The Infinity Gauntlet (1991).
Sehubungan itu, penulis melihat lakon layar Infinity War seperti dihasilkan dalam lima bab dan kemudiannya dicantumkan menjadi satu untuk memberi pilihan kepada penonton dan peminat untuk memilih kegemaran mereka (mungkin tiada yang akan berbuat demikian).
Menyentuh tentang Thanos, penulis menyifatkan Brolin yang juga anak kepada aktor veteran, James Brolin telah memberikan persembahan yang berkesan walaupun lakonannya dilakukan secara motion capture di set penggambaran.
Watak Thanos di tangan Brolin digambarkan sebagai watak antagonis yang kejam dan tidak berperikemanusiaan dalam mencapai cita-citanya untuk menjadi makhluk paling berkuasa. Tetapi, kekejamannya itu bukan menerusi lontaran dialog mahupun bahasa tubuh yang agresif tetapi ia dilakukan dengan penuh bersahaja.
Seperti mana dalam filem-filem MCU sebelum ini, tema persahabatan, kasih sayang, kemanusiaan dan pengorbanan masih lagi diterapkan untuk mengukuhkan hubungan sesama watak-watak adiwira itu biarpun kali pertama dipertemukan.
Biarpun Infinity War istimewa dalam caranya sendiri, penulis masih lagi meletakkan filem pertama The Avengers sebagai kegemaran. Mungkin juga disebabkan faktor sentimental memandangkan The Avengers itu adalah permulaan untuk segala-galanya.
Sudah semestinya, penulis dan peminat filem The Avengers yang lain perlu menunggu lebih kurang setahun lagi untuk menunggu filem keempat The Avengers yang masih belum berjudul untuk ditayangkan sekitar Mei 2019.
Tambahan pula, babak pasca kredit (penonton dinasihatkan untuk terus duduk selepas filem tamat) benar-benar membuatkan penulis teruja kerana seorang lagi adiwira baharu akan menyertai pasukan The Avengers yang membuatkan penulis tersenyum lebar.
Sumber ‘Avengers: Infinity War’ – Segala tentangnya adalah mega