Judul : Sandakan 'batu permata' yang belum digilap
link : Sandakan 'batu permata' yang belum digilap
Sandakan 'batu permata' yang belum digilap
SANDAKAN: Linn Ngui, 35 tahun, mengusahakan sebuah hotel dan kafe di Sandakan.Lebih 10 tahun menjalankan perniagaan itu, dia akui agak selesa dengan kehidupannya di bandar kedua terbesar Sabah itu.
Namun ada sesuatu yang 'diperhatikan' berlaku di bandar itu dalam tempoh sedekad yang lalu.
"Setiap kali Tahun Baharu Cina, anda akan melihat dengan jumlah begitu ramai sekali, golongan muda yang pulang ke kampung. Ini kerana, rata-rata orang muda meninggalkan Sandakan untuk bekerja di bandar-bandar yang lebih besar."
"Jika ditanya memang ramai sahaja yang mahu menetap dan bekerja di sini, tetapi mereka gagal mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan bidang mereka," ujar Linn yang juga pernah bekerja di Singapura sebelum pulang ke Sandakan untuk menjalankan perniagaan bersama suaminya.
Tidak mahu ketinggalan daripada arus pembangunan, Linn berharap calon wakil rakyatnya dapat menjadikan Sandakan setaraf dengan bandar-bandar yang lebih maju seperti Kota Kinabalu, malah Semenanjung."Sandakan bagi kami adalah seperti batu permata yang belum digilap. Masih ada banyak ruang untuk penambahbaikan. Saya mahukan seorang pemimpin yang berfikiran progresif dan pada masa sama, memahami kepentingan pembangunan lestari.
"Di Sandakan, kami ada banyak sumber asli, hutan dan hidupan liar. Jadi, penting bagi bakal pemimpin memelihara apa yang kita ada untuk masa depan," katanya.
Biarpun sudah melihat kemajuan di bandar-bandar lain, Sandakan tetap di hati Linn.
"Walaupun dalam tempoh 10 tahun kita selalu ke bandar-bandar besar untuk bekerja dan sebagainya tetapi Sandakan tetap 'rumah' saya."
"Sandakan mempunyai persekitaran yang aman dan tenang. Udaranya masih segar dan tidak banyak kesesakan trafik buat masa ini dan kita masih ada banyak kawasan hijau."
"Buat masa ini, saya agak selesa di sini tetapi saya mahu sistem pendidikan dan kesihatan yang lebih baik untuk anak-anak saya," katanya lagi.
Linn merupakan antara 39,833 pengundi di kawasan Parlimen Sandakan yang terdiri daripada 52 peratus masyarakat Cina dan 48 peratus bumiputera.
Pada PRU13, kerusi itu dimenangi DAP yang diwakili Pengerusi DAP Sabah Wong Tien Fatt dengan majoriti undi 14,226 mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) ketika itu, Datuk Liew Vui Keong juga bekas Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP).
Liew bagaimanapun telah keluar parti untuk menyertai pembangkang, Parti Warisan Sabah.
Dalam PRU14 kali ini, Parlimen Sandakan menyaksikan pertandingan satu-lawan-satu antara penyandangnya, Wong dan calon BN yang diwakili Naib Presiden LDP, Datuk Lim Ming Hoo.
Sumber Sandakan 'batu permata' yang belum digilap