Judul : “Hampir Mengalah Tetapi Sokongan Keluarga, Peminat Dan Teman Media Buat Saya Terus Berjuang” – Khai Bahar
link : “Hampir Mengalah Tetapi Sokongan Keluarga, Peminat Dan Teman Media Buat Saya Terus Berjuang” – Khai Bahar
“Hampir Mengalah Tetapi Sokongan Keluarga, Peminat Dan Teman Media Buat Saya Terus Berjuang” – Khai Bahar
Bersama keluarga dan Khai Bahar Empire (Pic: Mohamad Bakar)
Sebagai manusia biasa yang bergelar artis, jejaka kacak bernama Khai Bahar ini sendiri pernah goyah emosinya di awalan kerjaya seni bermula kira kira setahun lalu.
Malah ketika itu pelantun lagu Bayang dan Luluh ini sendiri pernah rasa down dan give up hingga tidak mahu lagi bergelar penyanyi.
Bertemu dengannya pada 28 Februari lalu di Lavender Garden Hall tepat pada hari sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke 24, Khai berkongsi banyak cerita dengan Rojak Daily Kaw!
“Masa itu ada saja hal termasuk dugaan jadi anak seni buat saya berbelah bagi. Hentaman dan kritikan buat saya gentar. Benda yang tak ada diadakan serta hal lama diungkit semula.
“Namun disebabkan sokongan peminat, ahli keluarga dan teman media kenapa perlu saya larut dengan semua itu. Sebab fikir mak ayah dan keluarga juga saya bagai bangkit semangat baru.
“Kalau nak diturut rasa orang tak suka dan sentiasa cari salah kita, sampai bila pun takkan terhenti. Sebab itu selepas hampir setahun lebih di arena seni, saya akan terus berjuang semampu mungkin,” kata Khai pada acara yang diraikan lebih 150 orang ahli kelab peminatnya, Khai Bahar Empire.
Malah akuinya lagi selepas berfikir optimis, kenapa dia perlu cepat mengalah dan tunduk dengan apa saja yang negatif?
“Apabila difikir balik, buat apa saya nak terus terkesan dengan perkara negatif. Kita tak tahu apa niat mereka. Ini kerana orang sebegitu seperti netizen akan terus kecam dan kecam.
“Kebanyakan artis akan lalui perkara sama dengan kena kecam. Kalau tak mahu kena kecam, lebih baik jangan jadi artis. Jadi artis ini hati kena keras.
“Saya tidak elak daripada membaca komen negatif netizen kerana mungkin ada yang diperkatakan itu dapat saya guna untuk perbaiki diri,” katanya.
Dalam pada itu majlis ulang tahun ke 24 nya juga menjadi begitu emosi apabila KBE memberikan kejutan manis yang tak terduga.
Suasana dewan yang bermula dengan teriakan dan sorakan kegembiraan membabitkan peminatnya bertukar sedikit sedih apabila ibu penyanyi lagu Bayang, Rosnah Mohamad, 55 hadir ditemani adik dan ipar duai Khai.
“Memang saya tak jangka semua ini. Pandai ahli KBE simpan rahsia. Dalam diam mereka undang mak saya. Memang saya agak emosi kalau ia membabitkan keluarga.
“Tambahan pula emak yang melahirkan dan membesarkan saya. Selalunya hari lahir ini kita fikir soal kita meningkat usia dan diraikan saja.
“Tapi di sebalik itu, hari lahir sebenarnya jadi lebih istimewa kerana insan bernama ibu yang bersusah payah melahirkan kita tidak wajar dilupakan,” katanya.
Dalam pada itu, Artis Baharu Lelaki dan Penyanyi Lelaki Popular masing masing untuk Anugerah Bintang Popular BH 3.0 itu memanjat kesyukuran kerana dikurniakan peminat yang begitu kuat menyokong kerjaya seninya yang semakin bersinar.
“Perasaan gembira itu sukar digambarkan. Namun saya bertuah, bersyukur dan terasa dihargai dengan sokongan peminat yang tidak berbelah bagi.
“Tahun ini saja sudah beberapa kali saya diraikan sebelum tarikh kelahiran (semalam) tiba. Masuk sambutan ini sudah sembilan kali saya diraikan. Sampai banyaklah kek birthday saya makan.
“Saya harap cinta dan kasih sayang peminat itu tidak akan terhakis walau seincipun kerana perasaan sama itu ada dalam diri saya untuk mereka semua. Mereka sudah seperti ahli keluarga saya sendiri,” katanya yang turut menjadi finalis Anugerah Juara Lagu ke 32 baru baru ini.
Dalam perkembangan lain, selepas single Luluh, jejaka yang mula dikenali menerusi aplikasi Smule itu akan muncul dengan sebuah single duet bersama penyanyi baru Fatin Husna.
“Lagu itu belum berjudul namun sudah dirakamkan. Ikut perancangan juga ada lagi dua single solo akan menyusul selepas itu.
“Malah projek duet saya dengan Siti Nordiana seperti dikhabarkan sebelum ini juga akan menjadi realiti. Cuma kami tak mahu terburu buru dalam hal itu,” katanya.
Mengenai dunia lakonan, Khai dan syarikat pengurusannya membuat keputusan bersama untuk menangguh seketika hasrat berkenaan.
“Biarlah saya fokus dunia nyanyian betul betul dulu. Lakonan itu biarlah kemudian. Saya percaya bila tiba masanya, pasti ada ruang untuk saya berjinak jinak sebagai pelakon,” katanya.
Pada majlis sambutan hari lahirnya semalam, Khai menerima lebih lima biji kek dan kek cawan daripada peminat.
Selain menerima banyak hadiah daripada peminat, beberapa acara sukaneka dan nyanyian turut diadakan. Khai juga turut menghiburkan peminat tersayangnya.
Sumber “Hampir Mengalah Tetapi Sokongan Keluarga, Peminat Dan Teman Media Buat Saya Terus Berjuang” – Khai Bahar