Judul : Cologne didenda RM295,470 susulan kekacauan di Emirates
link : Cologne didenda RM295,470 susulan kekacauan di Emirates
Cologne didenda RM295,470 susulan kekacauan di Emirates
NYON, Switzerland: Cologne diarah membayar Arsenal 60,000 euro (RM295,470) oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) sebagai pampasan bagi memperbaiki kerosakan yang dilakukan penyokong kelab itu ketika perlawanan Liga Europa, bulan lalu.
Selain denda yang dicetuskan ketika pertembungan di Emirates itu, badan induk itu juga mengenakan larangan perjalanan satu perlawanan kepada peminat kelab dari Jerman itu.
Sekatan berkenaan diumumkan, semalam selepas kekacauan yang dicetuskan membayangi kemenangan 3-1 Arsenal di London pada 14 September lalu.
Lebih 20,000 peminat Jerman membanjiri ibu negara England ketika kelab Bundesliga itu membuat penampilan sulung di pentas Eropah selepas 25 tahun.
Cologne diberikan 3,000 tiket untuk diagihkan kepada peminat mereka tetapi perlawanan Kumpulan H itu tertangguh sejam apabila peminat yang tidak memiliki tiket cuba memasuki stadium.
Dijangkakan kira-kira 15,000 peminat Cologne berjaya memecah masuk ke stadium berkenaan dan polis menangkap lima peminat pada hari perlawanan.
Sekali pun Cologne sudah meminta maaf kepada Arsenal, UEFA tetap mendakwa kelab itu susulan kekacauan yang dicetuskan peminatnya yang menyalakan bunga api, membaling objek dan pelbagai lagi kerosakan yang dilakukan. - AFP
Sumber Cologne didenda RM295,470 susulan kekacauan di Emirates