Judul : Salah guna pas siswi, wanita ajak polis seks
link : Salah guna pas siswi, wanita ajak polis seks
Salah guna pas siswi, wanita ajak polis seks
KUALA LUMPUR, 1 Nov — Seorang wanita warga Bangladesh didenda RM2,500 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menawarkan khidmat seks kepada seorang anggota polis, September lepas.
Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu selepas Salma Sultana, 39, mengaku bersalah menawarkan perkhidmatan seks itu di kaki lima di hadapan Hotel Victory 2, Jalan Imbi, di sini kira-kira pukul 6.30 petang, 20 September lepas.
Wanita warga asing itu didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.
Tertuduh, ibu kepada dua cahaya mata itu turut didenda RM500 atau penjara sebulan selepas mengaku bersalah menyalahgunakan pas pelajar dengan bekerja sebagai pelacur di tempat, masa dan tarikh sama.
Dia didakwa mengikut Peraturan 11 (7) (a) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 39 (b) peraturan sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.
Tertuduh membayar denda itu.
Terdahulu, peguam, T. Harpal Singh yang mewakili Salma memohon hukuman denda minimum atas alasan tertuduh perlu menanggung dua anak yang masih kecil di negara asal selain dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Timbalan pendakwa raya Nur Farah Adilah Noordin pula memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran. — Bernama
Sumber Salah guna pas siswi, wanita ajak polis seks