Judul : Gema irama Bollywood
link : Gema irama Bollywood
Gema irama Bollywood
Gubahlah dalam tempo apa pun, irama Bollywood tetap berjaya menghuni hati peminat tegarnya. Ternyata lagu Hindi terus bersemadi dengan kukuh dan alunannya yang merdu tidak pernah jemu didengar.Lantaran itu, menerusi gubahan istimewa Konsert Koir Kebangsaan 2017 menerusi sentuhan Pengarah Koir Tunku Marina Tunku Zubir bersama Pengarah Persembahan dan Vokal artis terkenal tanah air, Syafinaz Selamat, hujung minggu lalu di Auditorium Dewan Bahasa Pustaka bergemalah lagu Hindi seperti Tujhe Dekha, Kuch Kuch Hota Hai, Dil To Pagal Hai, Bole Chudiyan, Mujhe Rangde, Jiya Jale, Main Shayar To Nahin, Main Nagin Tu Sapera Main Teri Dushman,Mere Dholna Sun, Deewani Mastani, Dhoom Again, Shiela Ki Jawani dan Bhol Radha Bhol.
Pada segmen kedua pula, penonton dihiburkan dengan persembahan lagu tempatan dan dangdut iaitu Ingin Bersua, Wajah Kesayangan Hamba, Semakin Hari Semakin Sayang, Kata Pujangga, Goyang Inul, Kereta Malam, Gerimis Melanda Hati, Asyik, Sengol-Senggolan Cubit Cubitan, Sedang Sedang Saja, Penasaran, Angkat Kaki, Selamat Jalan Romeo, Cek Mek Molek, Gula Judi dan Kopi Dangdut.
Menurut Syafinaz, tahun ini, konsert Koir Kebangsaan Malaysia (KKM) julung kali membawakan lagu tempatan, Hindi dan dangdut demi menyahut pemintaan peminat.
SYAFINAZ
“Memandangkan KKM sudah mengadakan konsert yang merangkumi genre utama seperti klasikal, broadway, tradisional, jaz, pop dan rock dan kali ini, dibawakan kelainan menerusi Konsert WARNA iaitu akronim bagi Warkah Alunan Ritma Nuansa Asmara.
“Untuk konsert ini, KKM yang bernaung di bawah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara menampilkan 27 lagu popular tempatan dan Hindi alunan suara 24 ahli KKM melalui gubahan persembahan berentak acapella, rock, pop, pop rock, jaz, balada, tradisional dan Latin.
“Syukur, persembahan yang diadakan selama dua malam itu sangat berjaya,” katanya.
Insan lain di sebalik kejayaan konsert KKM itu, Amri Zin selaku konduktor dengan bantuan penolong konduktor Lilis Syafiza Mohd Yatim, pengarah muzik Kusham dari One Scream Studio, penata bunyi (Simon Khoo Boon Chin) dan koreografer (Fairuz Fee) dengan disertai Noorazmira Mohd Rahim (Juara Bintang Asli Remaja 2009).
“Sepanjang persembahan koir itu kami menggunakan perkhidmatan pemuzik profesional, tenaga pengajar dan pembantu koir dari pelbagai peringkat bagi melancarkan lagi Konsert Koir WARNA tahun ini,” katanya.
Sumber Gema irama Bollywood