Judul : Pernah Tengok Basikal P Ramlee Guna Dalam Filem Ali Baba Bujang Lapok?
link : Pernah Tengok Basikal P Ramlee Guna Dalam Filem Ali Baba Bujang Lapok?
Pernah Tengok Basikal P Ramlee Guna Dalam Filem Ali Baba Bujang Lapok?
Porta Cycle iaitu basikal yang sama seperti pernah digunakan P Ramlee dalam filem Ali Baba Bujang Lapok antara yang mencuri perhatian khalayak ketika Program Kayuhan Basikal Klasik Penang Sempoi 4.0 2017 yang diadakan di Pulau Pinang, baru-baru ini. (Gambar: Eiylla Syaharith)
Rojak Daily Skop! baru-baru ini berkesempatan menyertai Program Kayuhan Klasik Penang Sempoi 4.0 2017 dari Butterworth ke Georgetown yang berjaya menghimpunkan seramai 123 peserta dan juga pemilik basikal klasik dari seluruh negara.
Program anjuran Kelab Komuniti Pemilik Basikal Klasik Malaysia yang masuk tahun keempat itu berjaya menempa sejarah tersendiri apabila berjaya mengumpulkan peserta paling ramai pada tahun ini.
KLASIK TAPI MASIH BOLEH GUNA
Tampil dengan gaya yang tersendiri, kesemua peserta bergaya dengan pelbagai model basikal klasik yang direka sejak dari tahun 1919 hingga 1950 dan kesemuanya buatan dari England.
Demi kerana minat, soal wang bukan lagi ukuran biarpun terpaksa menghabiskan sehingga puluhan ribu ringgit namun buat peminat basikal klasik ia bukan lagi masalah.
Ada peserta yang ditemui bukan hanya memiliki sebuah tetapi hampir 20 basikal klasik dan ia masih elok serta boleh digunakan.
Bagi Musa Husin, 59, dari Alor Setar, Kedah memberitahu dia sudah berkecimpung dalam aktiviti basikal klasik ini sejak 11 tahun lalu dengan memiliki pelbagai model basikal.
Dia memiliki 20 basikal klasik pelbagai jenama termasuk Railey, Copper, Phillips dan Porta Cycle yang merupakan jenis basikal yang sama pernah digunakan P Ramlee dalam filem Ali Baba Bujang Lapok.
Menurutnya, basikal itu yang dibeli pada harga RM700 di Pulau Pinang menjadi antara basikal klasik yang pernah dimilikinya dan ia bukan suatu yang mustahil apabila dia sudah berhabis lebih RM50,000 kerana minat terhadap basikal.
Jelasnya, untuk mendapatkan basikal klasik ini bukannya mudah dan perlu menunggu sehingga dua atau tiga tahun untuk melengkapkan semua komponennya.
“Sejak dari itu setiap komponen basikal dikumpul dan dibeli dari seluruh negara sehingga menjadi lengkap seluruh basikal dan pastinyam, ia memberi 1,001 kepuasan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.
“Saya sebenarnya minat menyimpan barangan lama termasuk basikal klasik kerana ia menyimpan nilai sentimental sejarah yang tersendiri,” katanya.
PENYERTAAN SEKALI GANDA
Program Kayuhan Klasik Penang Sempoi 4.0 2017 bermula dari jam 8 pagi sehingga 1 petang itu melalui beberapa lokasi termasuk Terminal Feri Sultan Abdul Halim, Butterworth menuju ke Terminal Feri Raja Tun Uda untuk menaiki feri serta bersiar-siar sekitar Persiaran Karpal Singh dan mengelilingi pusat bandar.
Setiausaha Kelab Komuniti Pemilik Basikal Klasik Malaysia, Mohd Zulhafiz Mohd Arshad berkata, program anjuran buat tahun keempat ini berjaya mencipta sejarah tersendiri dengan penyertaan peserta lebih ramai berbanding tahun sebelumnya.
Menurutnya, jika dulu penyertaan peserta sekitar 50 sehingga 60 orang dan kini ia semakin mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan apabila dihadiri lebih 120 orang.
Katanya, objektif utama program ini adalah untuk memupuk semangat silaturrrahim antara pemilik basikal klasik di seluruh negara selain bertukar pendapat.
“Apa yang menarik, pada tahun ini pelbagai jenama basikal dari United Kingdom termasuk Railey, Cooper, Mercury dan bermacam lagi yang dimiliki peserta dari Kedah, Perak, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan turut hadir.
“Kita bersyukur kerana program ini mendapat sambutan yang memberangsangkan dan perhimpunan terbesar ini dapat diadakan pada tahun ini dengan jayanya,” katanya.
Sumber Pernah Tengok Basikal P Ramlee Guna Dalam Filem Ali Baba Bujang Lapok?