Judul : FAM atur program jurulatih di Eropah - PJBM
link : FAM atur program jurulatih di Eropah - PJBM
FAM atur program jurulatih di Eropah - PJBM
KUALA LUMPUR: Jurulatih tempatan yang berpotensi akan mendapat peluang keemasan apabila bakal dihantar menimba pengalaman di Eropah dan juga Jepun.
Perkembangan itu disahkan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan yang menjelaskan berita baik itu disampaikan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu pertemuan, semalam.
Pengendali FELDA United itu, berkata rancangan itu adalah sebagai salah satu program jangka panjang dalam usaha PJBM serta FAM melahirkan jurulatih tempatan yang berkaliber dan memiliki reputasi tinggi selain berpengalaman mengendalikan pasukan di peringkat antarabangsa.
"Ini adalah satu khabar gembira kepada PJBM dan khususnya kepada jurulatih tempatan kerana Tunku Ismail sendiri bersedia untuk menghantar mereka yang berpotensi bagi mendapat pengalaman di peringkat yang lebih tinggi.
"Ini membuktikan betapa Tunku Ismail serius untuk membangunkan dan memperkasakan bidang kejurulatihan di negara ini. PJBM begitu bernasib baik kerana mendapat Presiden FAM seperti Tunku Ismail.
"Jadi, perkembangan ini seharusnya membakar semangat jurulatih tempatan bagi membuktikan mereka layak untuk dipilih kerana PJBM sendiri yang akan mengemukakan nama mereka untuk dipanjangkan kepada Tunku Ismail," katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam masa sama, Sathia juga menjelaskan lebih banyak simposium akan diadakan pada masa akan datang dengan tujuan untuk memberi pendedahan dan menambah pengetahuan kepada jurulatih tempatan.
"Kita akan menggiatkan lagi perkongsian daripada jurulatih tempatan dan ia akan menjadi medan kepada jurulatih tempatan untuk memperkayakan lagi pengetahuan dalam bidang kejurulatihan," katanya.
Simposium dan Anugerah Kejurulatihan Bola Sepak Malaysia 2017 akan diadakan pada Jumaat dan Sabtu ini yang menampilkan sesi perkongsian daripada jurulatih ternama seperti Irfan Bakti Abu Salim, Datuk Richard Scully dan juga Datuk Ong Kim Swee.
Sumber FAM atur program jurulatih di Eropah - PJBM