Judul : “Pelbagai Pengalaman Dilalui Banyak Membantu Saya Menjiwai” – Aishah
link : “Pelbagai Pengalaman Dilalui Banyak Membantu Saya Menjiwai” – Aishah
“Pelbagai Pengalaman Dilalui Banyak Membantu Saya Menjiwai” – Aishah
Aishah menggegarkan konsert Gegar Vaganza minggu pertama. (Pic: Alexander Hadreez Jr.)
“Saya sudah melalui pelbagai peristiwa pahit dan manis dan pengalaman itulah yang banyak membantu saya untuk menjiwai sesebuah lagu itu dengan lebih mudah,” demikian pengakuan penyanyi Aishah apabila ditanya bagaimana beliau menghayati sesebuah lagu sehingga nyanyiannya mampu menyentuh hati penonton dan juga juri.
Persoalan ini timbul apabila rata-rata juri memuji persembahan penyanyi berusia 52 tahun ini ketika konsert pertama Gegar Vaganza 4 yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil malam Ahad lalu. Aishah menjadi peserta terakhir dan mendendangkan lagu berhantunya, Janji Manismu.
Mengulas lanjut perkara itu, pemilik nama Wan Aishah Wan Ariffin memberitahu, sebagai penyanyi perkara paling penting adalah kefahaman terhadap lirik supaya bait-bait ayat yang dilantunkan, mampu meresap ke dalam hati pendengar.
“Bila saya menyanyi, saya kena berlakon dan menghayati setiap baris lirik yang kita dendangkan. Penjiwaan sesebuah lagu itu tidak boleh diajar kerana ia datang dari dalam diri. Walaupun cerita dalam lagu itu tak ada kena mengena dengan kita, make it personal. Try relate dengan diri kita,” terang penyanyi bervokal mantap ini.
Persembahannya malam itu bukan saja berjaya memberikannya standing ovation daripada penonton tetapi juga markah sebanyak 96 peratus iaitu markah tertinggi yang pernah diberikan kepada peserta Gegar Vaganza setakat ini.
Ketika ditanya kepada salah seorang juri, Hetty Koes Endang, mengenai ke mana hilangnya empat markah yang sepatutnya diberikan kepada Aishah, penyanyi legenda Indonesia itu memberitahu kelemahan Aishah adalah kerana kurangnya keyakinan diri tatkala di atas pentas.
Saat dimaklumkan kepada si empunya diri mengenai perkara itu, penyanyi yang berasal dari Negeri Sembilan ini mengakui dirinya gugup dan menyifatkan situasi yang dilaluinya ketika itu seperti sangat asing buatnya.
“Sudah lama tidak menyanyi di televisyen dan dihadapan penonton tentunya suasananya sangat berbeza. Dan itulah juga pertama kali saya menggunakan ear monitor. Berpuluh-puluh tahun menyanyi tak pernah guna alat itu, justeru bila guna banyaklah kesilapan teknikal berlaku.
“Suara saya kedengaran sangat jauh ketika itu dan perasaan saya ketika itu hanya tuhan saja yang tahu. Mujurlah lagu Janji Manismu saya sudah nyanyi banyak kali, jadi saya nyanyi ikut gerak hati saja. Nasib baik tiada ulang korus, kalau tidak tak tahulah jadi macam mana,” cerita Aishah kepada Rojak Daily Kaw!
Dalam temubual itu juga, bekas anggota kumpulan Aishah & The Fan Club ini juga turut berkongsi pengalamannya sebagai peserta Gegar Vaganza yang sekali gus mengembalikan ingatannya sewaktu zaman kegemilangannya sekita lebih dua dekad lalu.
“Dengan jadual yang padat dan terpaksa berkejar-kejar, mana nak kena buat latihan, raptai, mekap dan pelbagai lagi aktiviti sampingan lain membuatkan saya terkenang kembali the craziness waktu zaman saya popular dulu. Sudah lama tak rasa suasana macam ini, perasaan dia lain macam sikit. Memang penat.
“Tapi mengenangkan yang saya buat semua ini adalah untuk peminat dan perasaan rindu untuk muncul di TV serta menyanyi lagu yang bukan milik saya, saya teruskan juga,” katanya penuh bersemangat.
Mengulas lagu Dingin yang bakal dinyanyikan pada konsert minggu kedua Ahad ini, Aishah berkata walaupun mencabar tetapi dia suka dengan lagu hasil ciptaan Azlan Abu Hassan itu.
“Ketika lagu itu dinyanyikan Ziana Zain di pentas Anugerah Juara Lagu beberapa tahun lalu, saya berkata pada diri sendiri, mengapalah Azlan tidak mencipta lagu seperti ini untuk saya? Sejujurnya saya suka lagu itu kerana ia ada dinamik. Bermula dengan nada rendah dan berakhir dengan nada yang tinggi.
“Nampaknya impian saya untuk menyanyi lagu itu menjadi kenyataan walaupun ia bukan milik saya. Saya akan cuba membawakan lagu itu dengan cara saya sendiri tanpa dipengaruhi penyanyi asal,” ujarnya.
Sumber “Pelbagai Pengalaman Dilalui Banyak Membantu Saya Menjiwai” – Aishah