Judul : Bella belum rancang aktif di Malaysia
link : Bella belum rancang aktif di Malaysia
Bella belum rancang aktif di Malaysia
TRANSISI kehidupan Laudya Cynthia Bella atau lebih mesra disapa Bella berubah sepenuhnya selepas mendirikan rumah tangga, September lalu.Ini kerana, kewajipan bintang filem Syurga Yang Tak Dirindukan ini bukan hanya tertumpu pada kerjaya seni dan perniagaan semata-mata sebaliknya tanggungjawab selebriti berusia 29 tahun ini sudah beralih arah kepada suami, Engku Emran dan anak tirinya, Engku Aleesya.
Lantaran itu, bintang ini tidak kisah untuk berulang alik di antara Kuala Lumpur dan Jakarta, Indonesia, hampir setiap bulan.
“Karier seni dan bisnes saya masih ada di sana (Indonesia). Lagipun, tujuan dan niat saya berpindah ke sini (Kuala Lumpur) adalah untuk menjaga suami dan Aleesya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di program Ceria-I Star, baru-baru ini.
Advertisement
Bella juga mengakui masih belum punya perancangan untuk mengembangkan karier seni dan perniagaannya di sini, dalam masa terdekat dan hanya menerima tawaran sebagai juri Ceria-I Star.
Wanita berperawakan lemah-lembut ini juga tidak menafikan menerima beberapa tawaran lain tetapi belum bersedia dan perlu menyesuaikan diri dengan Kuala Lumpur (KL).
“Alhamdulillah, saya percaya rezeki itu ada di mana-mana,” katanya yang tidak menolak untuk mengembangkan perniagaannya di KL suatu hari nanti.
Pada masa sama, pelakon filem Haji Backpacker ini berharap peminatnya memahami keputusannya untuk berpindah ke KL.
“Saya rasa peminat di sana faham kenapa saya perlu menetap di sini. Lagi pula, dengan tanggungjawab saya sebagai isteri dan ibu, dah tentu saya perlu sentiasa berada di sisi suami dan anak.
“Lagipun, keluarga, pekerjaan, dan bisnes masih ada di sana, jiwa saya masih tetap ada di sana,” katanya sambil ketawa dan memberitahu yang dia akan pulang ke Indonesia, pada Disember ini.
Dalam perkembangan lain, Bella juga bakal terlibat dengan penggambaran drama di Indonesia, tidak lama lagi.
Lebih tenteram
Biarpun sedikit lelah, Bella masih mampu tersenyum gembira dengan apa yang dilakukannya.
“Hidup ini pasti saja ada rasa letih kan? Tapi, kalau kita happy dan ikhlas melakukannya, pasti kita akan enjoy. Lagipun, saya malas mahu fikir benda-benda yang tak sepatutnya. Jadi, jalani saja dengan happy. Insya-ALLAH, semuanya akan OK,” katanya.
Bukan itu sahaja, pelakon filem Talak Tiga ini juga memberitahu kehidupannya lebih tenteram dan relaks, sejak berpindah.
“Alhamdulillah, kehidupan di sini lebih relaks. Paling utama, saya tak perlu melalui hari-hari dengan jammed yang teruk. Sampaikan dalam sehari, saya mampu untuk ke dua atau tiga lokasi.
“Paling seronok sekali, saya boleh berjoging di taman tanpa ada yang mengganggu malah tanpa mekap sekalipun, termasuklah ketika mengambil Aleesya pulang dari sekolah.
“Apa yang nyata, kehidupan saya di sini lebih bersifat peribadi berbanding di Indonesia. Alhamdulillah,” katanya yang menggemari nasi lemak dan mi tarik.
Dalam pada itu, ditanya perihal cahaya mata, Bella bagaimanapun lebih selesa untuk terus berteka-teki.
Namun, bintang filem Kakak ini mengakui Aleesya juga ada bertanyakan perkara sama kepadanya.
“Insya-ALLAH, Amin. Saya mohon doa ya,” katanya yang mahu terus berahsia dan sentiasa dilihat bahagia bersama keluarganya.
Sumber Bella belum rancang aktif di Malaysia