Judul : Nafiizwan dinasihat lupakan Qatar
link : Nafiizwan dinasihat lupakan Qatar
Nafiizwan dinasihat lupakan Qatar
KUALA LUMPUR: Pemain skuasy nombor satu negara Nafiizwan Adnan menarik diri daripada Qatar Classic di Doha bagi meneruskan proses pemulihan selepas terbabit dalam kemalangan motosikal minggu lalu.
Nafiizwan mengalami kecederaan di lutut selepas motosikalnya bertembung dengan teksi sehari sebelum dia sepatunya beraksi di Terbuka Malaysia.
Selepas mendapat rawatan dan nasihat daripada Institut Sukan Negara (ISN), Nafiizwan berkata dia mengambil keputusan itu bagi membolehkan kecederaan itu pulih sepenuhnya sebelum dia kembali beraksi.
"Selepas ke ISN dan mendapat nasihat doktor, saya memutuskan untuk menarik diri daripada Qatar," kata pemain raking ke-29 dunia itu yang sepatutnya mengharungi pusingan kelayakan di Doha bermula esok.
"Ini kerana badan saya masih belum bersedia untuk bersaing dan saya perlu memastikan fizikal dan mental saya berada pada tahap terbaik sebelum menyertai kejohanan."
Nafiizwan, 31, kecewa apabila tidak dapat bersaing di Terbuka Malaysia yang kembali dianjurkan selepas dua tahun menghilang. Dia diletakkan sebagai pilihan kedua di kejohanan itu.
"Saya menjalani latihan intensif di Macau sebelum kembali ke England untuk berlatih dan bermain dalam liga di sana bagi mendapatkan semula keyakinan saya," kata Nafiizwan yang terseliuh pergelangan kaki di Terbuka Macau bulan lalu di mana dia tewas pada pusingan pertama.
"Saya cukup yakin dapat beraksi cemerlang di Terbuka Malaysia tetapi tidak sesiapa jangka perkara sebegini akan terjadi. Saya mohon maaf kepada penyokong saya kerana tidak dapat melakukannya di laman sendiri."
Nafiizwan berharap akan pulih menjelang Terbuka Hong Kong pada 12-19 November, seterusnya menyertai Kejuaraan Berpasukan Lelaki Dunia pada 27 November hingga 3 Disember di Perancis dan Kejohanan Dunia di Manchester dari 8-17 Disember.
Sumber Nafiizwan dinasihat lupakan Qatar