Judul : Misbun pilih pengalaman
link : Misbun pilih pengalaman
Misbun pilih pengalaman
ALOR SETAR: Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek memberi bayangan akan menurunkan Iskandar Zulkarnain Zainuddin pada pertemuan hidup mati menentang Taiwan bagi aksi terakhir peringkat kumpulan Kejohanan Berpasukan Asia, esok.
Menurutnya, percaturan perseorangan ketiga untuk skuad negara memang amat penting kerana mampu menjadi penentu kejayaan untuk menempah slot ke suku akhir sekiranya mampu menumpaskan Taiwan.
"Kami kena tengok pada keadaan bagaimana untuk mencuri mata menentang Taiwan. Iskandar dan Soong Joo Ven kedua-dunya pemain muda tapi pengalaman akan menentukan kepada permainan mereka esok," katanya selepas perlawanan menentang Myanmar sebentar tadi.
Bagaimanapun, Misbun mengakui jika beliau berasakan Joo Ven lebih berhak dia akan menurunkan pemain itu.
"Kami memang kena menang perlawanan ini untuk melayakkan diri ke suku akhir. Kalau tidak menang memang tidak sedap, kami sedang berusaha ke arah itu.
"Berdasarkan pada aksi semasa, saya tengok Iskandar sudah bermain dua perlawanan dan Zii Jia juga sama, manakala Joo Ven satu perlawanan. Saya akan bincang semula untuk mencari jalan supaya mereka memperagakan aksi terbaik esok," kata legenda perseorangan lelaki negara itu.
Berdasarkan pengalaman, Iskandar pernah beraksi pada pusingan akhir Piala Thomas di Kunshan dua tahun lalu, manakala Joo Ven pula hanya beraksi di pusingan kelayakan di Hyderabad, India.
Prestasi semasa juga memperlihatkan Iskandar di landasan terbaik apabila berjaya mara ke separuh akhir Terbuka India minggu lalu.
Jika Malaysia gagal mara ke suku akhir, peluang untuk layak ke Piala Thomas secara automatik berkecai dan perlu mengharapkan kepada kedudukan ranking selepas ini.
Sumber Misbun pilih pengalaman