Judul : Lebih 200 tahun, dua meriam King George III ditemui
link : Lebih 200 tahun, dua meriam King George III ditemui
Lebih 200 tahun, dua meriam King George III ditemui
Dua meriam sepanjang 2.35 meter dan 2.2 meter dibongkar berhampiran Padang Kota Lama di bahagian barat kota itu. — Foto oleh Sayuti ZainuddinGEORGE TOWN, 20 Feb — Dua meriam lama ditemukan semasa kerja-kerja ekskavasi dijalankan pada struktur pertahanan luar dan terusan yang mengelilingi Kota Cornwallis, di sini semalam — penemuan yang bakal mengubah interpretasi awal Kota Cornwallis itu sendiri.
Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Mokhtar Saidin berkata, dua meriam itu masing-masing sepanjang 2.35 meter dan 2.2 meter itu dibongkar berhampiran Padang Kota Lama di bahagian barat kota itu.
“Selepas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng melawat pada Ogos tahun lepas, kami terus melihat semula seluruh strukutur yang sedia ada dalam peta 1877.
“Sebenarnya kami hendak melihat pintu masuk utama di sini (Kota Cornwallis) tetapi kami menemukan dua meriam. Pada kedua-dua meriam, kami temukan lambang GR (lambang King George III).
“Pada peta 1877 tidak terdapat simbol kedudukan sebarang meriam, jadi ia mesti lebih baharu daripada Itu. Ia kira-kira 200 tahun lalu.
“Ketika ini kita tahu tempoh dan era tentatif tetapi kajian lebih rapi akan dilakukan di USM,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata meriam itu akan dihantar ke USM untuk pemuliharaan dan analisis selanjutnya.
Mokhtar berkata penemuan meriam itu akan mengubah interpretasi awal Kota Cornwallis itu sendiri.
Sementara itu, Lim yang hadir pada sidang akhbar itu berkata kawasan itu akan dilindungi bagi membolehkan kerja-kerja di situ diteruskan dan langkah-langkah keselamatan diambil bagi menentukan meriam itu tidak dicuri.
“Peta terbaru 1877 tidak mempunyai rekod tentang sebarang meriam. Ini penemuan penting bagi Pulau Pinang, ia menunjukkan sejarah kita dan diharapkan lebih banyak penemuaan akan muncul,” kata beliau.
Kerja-kerja ekskavasi itu diluluskan oleh Jabatan Warisan Negara dan ia sebahagian daripada usaha untuk memulihkan struktur pertahanan dalam bentuk terusan yang mengelilingi kota berusia 232 tahun itu.
Terusan itu telah dikambus pada 1922. — Bernama
Sumber Lebih 200 tahun, dua meriam King George III ditemui