Judul : Kapten Izham ganti Peter Bellew jadi GCEO MAB
link : Kapten Izham ganti Peter Bellew jadi GCEO MAB
Kapten Izham ganti Peter Bellew jadi GCEO MAB
COO MAB Kaptem Izham Ismail akan menyandang jawatan GCEO menggantikan Peter Bellew berkuat kuasa 1 Disember 2017. ― Foto ehsan Malaysia Airlines BerhadKUALA LUMPUR, 20 Okt ― Lembaga Pengarah Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) dan Malaysia Airlines Bhd (MAB) mengumumkan Kapten Izham Ismail akan dilantik sebagai Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) berkuat kuasa serta-merta.
Dalam kenyataan hari ini, MAB berkata Izham, yang pada masa ini merupakan Ketua Pegawai Operasi (COO), akan menyandang jawatan GCEO pada 1 Dis, 2017, selepas ketiadaan Peter Bellew, yang kini diletakkan di bawah cuti pentadbiran.
Katanya pelantikan Izham sejajar dengan pelan penggantian yang telah digariskan MAB sebagai sebahagian daripada Pelan Pemulihan 12 Perkara MAS (MRP), yang disediakan bagi pembangunan dan penggantian bakat kepimpinan Malaysia.
“Bagi memastikan peralihan yang lancar, sebuah Jawatankuasa Eksekutif Lembaga akan ditubuhkan untuk tempoh enam bulan.
Ia akan diketuai oleh Pengerusi Tan Sri Md Nor Yusof dan akan termasuk ahli lembaga pengarah Tan Sri Krishnan Tan Boon Seng, Tan Sri Zamzamzairani Isa dan Sheranjiv Sammanthan,” menurut MAB.
Katanya Izham telah memainkan peranan yang penting kepada usaha pemulihan berterusan syarikat penerbangan itu.
Sebagai COO, beliau bertanggungjawab bagi bahagian operasi, yang termasuk operasi penerbangan dan lapangan terbang serta kejuruteraan, katanya.
“Beliau mengetuai penyusunan semula bahagian kejuruteraan bagi operasi yang lebih cekap dan lancar, serta bertanggungjawab bagi inisiatif penjimatan bahan api syarikat penerbangan itu,” menurut MAB.
Izham mempunyai pengalaman selama 38 tahun dalam industri penerbangan, memulakan kerjaya dengan Malaysia Airlines sebagai juruterbang pada 1979 dan telah memecahkan rekod penerbangan dunia apabila beliau menerbangkan pesawat B777-200 pertama Malaysia Airlines pergi dan balik dari Seattle ke Kuala Lumpur.
Sebelum dilantik sebagai COO pada 2016, beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MASwings, syarikat sekutu Malaysia Airlines di Sabah dan Sarawak.
Mengalu-alukan Izham kepada jawatan baharunya, Pengerusi MAB Tan Sri Md Nor Yusof berkata Izham merupakan ahli penting dalam keluarga MH dan mempunyai pemahaman yang luas mengenai operasi syarikat penerbangan dan pengurusan perniagaan. ― Bernama
Sumber Kapten Izham ganti Peter Bellew jadi GCEO MAB