Judul : Mahu boikot Shell kerana isu LGBTQ? ― Daniel Iqram Abd Halim
link : Mahu boikot Shell kerana isu LGBTQ? ― Daniel Iqram Abd Halim
Mahu boikot Shell kerana isu LGBTQ? ― Daniel Iqram Abd Halim
18 OKTOBER ― Minggu lepas, syarikat minyak antarabangsa Shell menyatakan sokongan kepada International Coming Out Day. Tindakan ini menimbulkan reaksi seantero dunia, termasuk di Malaysia. Ramai kenalan Muslim saya yang telah menyeru boikot terhadap Shell tetapi terdapat juga rakan-rakan saya yang tidak bersetuju untuk memboikot. Dan saya kira, pada kedua-dua pihak terdapat individu yang mempunyai kefahaman dan amalan Islam yang baik.
Di sini, saya awal-awal ingin menyatakan penafian: bahawa saya, sebagai orang Islam, TIDAK menyokong budaya lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer (LGBTQ), apatah lagi menyokong mempromosi dan berbangga-bangga dengannya. Saya hanya ingin melontarkan pandangan tentang kewajaran memboikot. Saya menulis bukanlah untuk memenangi perbahasan, tetapi hanya ingin menyuarakan pendapat peribadi.
Antara sebab saya TIDAK setuju untuk memboikot Shell:
1. Shell sebuah badan korporat gergasi yang tentunya mempunyai seribu satu jenis pekerja di rangkaiannya di seluruh dunia. Melalui perbincangan bersama kenalan yang bekerja sebagai staf di Shell, saya mendapati bahawa Shell sedang menjalankan dasar ‘diversity and inclusion’ (D&I) atau kepelbagaian dan merangkumi semua.
D&I ini adalah budaya yang dipupuk supaya pekerja-pekerja rasa selesa dengan persekitaran. Haruslah kita sedar bahawa di sini, Shell menyatakan sokongan kepada kakitangan LGBTQ mereka dan bukanlah kepada golongan ini dalam masyarakat umum.
Lihat di laman web mereka yang tertera tajuk ‘Supporting Our LGBT Talent at Shell’. Selari dengan polisi ini, contohnya, tandas untuk ‘transgender’ telah disediakan demi keselesaan semua pihak. Malah, budaya D&I ini juga memberi manfaat kepada staf Islam apabila diadakan sesi untuk menerangkan tentang ibadah qurban dan puasa kepada staf lain dan slaid penjelasan mereka diedarkan kepada cawangan Shell di negara-negara lain. Dengan demikian, produktiviti akan meningkat apabila pekerja rasa selesa dan bahagia.
Maka, Shell bukan menggalakkan budaya LGBTQ , tetapi hanya memberi sokongan supaya pekerja LGBTQ mereka tidak didiskriminasi secara pukal oleh orang lain. Diskriminasi di sini bermakna bahawa walaupun orientasi seks mereka tidak dipersetujui ramai, mereka masih harus diberi hak dalam hal-hal lain. Jika benar Shell menggalakkan budaya LGBTQ, maka atas dasar hak sama rata, mereka juga seharusnya menggalakkan ‘heterosexualism’ (yakni orientasi seks kebanyakan kita).
2. Shell telah menubuhkan ‘LGBT Plus Networks’ mereka di 11 buah negara, dan kebanyakannya di negara Barat, di mana budaya LGBTQ telah semakin berkembang. Namun, 11 negara ini TIDAK termasuk Malaysia. Maknanya, Shell Malaysia tidak terlibat dengan sambutan ‘International Coming Out Day’ yang dilaksanakan oleh syarikat induk.
Tambahan pula, banyak lagi syarikat yang berasal dari Barat (contohnya Facebook) dan juga yang bukan dari Barat (contohnya Honda) yang memberi sokongan kepada LGBTQ melalui polisi D&I. Tidak pula saya ingat akan apa-apa kekecohan apabila Honda bertindak sedemikian. Bezanya di sini, Shell dikenali kerana mereka telah memuatnaik logo syarikat berlatar belakangkan warna pelangi, iaitu syiar LGBT, dan perkara ini mendapat perhatian warga internet dan tersebar. Sedangkan ‘LGBT Plus Networks’ mereka sudah lama tertubuh dan bukannya baru-baru ini.
3. Bagi kebanyakan individu, LGBTQ bukan masalah mudah yang boleh diselesaikan semata-mata dengan saranan ‘bertaubatlah kepada Allah.’ Ya, agama itu nasihat dan kita memang mengimpikan ia semudah itu, tetapi hakikatnya, dakwah kepada golongan LGBTQ ini sering kali memerlukan pendekatan yang lebih kreatif dan tidak begitu langsung.
Saya berat kepada pandangan bahawa orientasi seks ini adalah hasil daripada didikan rakan sekeliling dan bukan genetik, namun sejauh mana ini benar hanya Allah yang tahu, kerana memang ada jenis lelaki yang lebih tertarik kepada lelaki lain tanpa ada rangsangan yang kuat daripada persekitaran. Malah, jangan terkejut jika ada di kalangan golongan yang digelar sebagai Islamis juga mempunyai naluri sebegini.
Perbincangan saya dengan rakan-rakan yang boleh dikategorikan sebagai Islamis telah membawa anjakan dalam pemikiran saya mengenai isu ini. Antara kawan saya tersebut, seorang pelajar sarjana dalam bidang psikiatri dan mempunyai seorang pesakit yang berlatar belakang sekolah agama. Malah pesakit tersebut cemerlang dalam pelajarannya. Namun, beliau telah melalui pengalaman liwat semasa berumur 14 tahun, dan sejak itu sentiasa ada perasaan terhadap lelaki.
Walau bagaimanapun, bagi rakan saya ini yang terlibat dalam aktiviti usrah mingguan, kumpulan beliau tersebut sering berpesan kepadanya supaya mengingatkan pesakit tersebut tentang dosa dan harus kembali kepada fitrah. Malangnya, pesakit beliau telah menghidap HIV dan mengimpikan kehidupan idaman bersama teman lelakinya. Baginya, itulah cinta yang benar dan pesakitnya tidak terbayang kehidupan bersama wanita. Mindanya jauh sekali daripada pemikiran tentang dosa dan pahala dalam hal ini.
Begitulah rumitnya perihal LGBTQ ini. Masyarakat mungkin nampak mereka sebagai mengada-ada, dan mungkin pada awalnya ada silap pada diri individu kerana membiarkan diri terlibat. Namun, perasaan mereka kepada sesama jantina telah sampai pada tahap yang mana ia bukanlah dibuat-buat. Oleh itu, emosi mereka harus diiktiraf dan harus diselami jika penyelesaian hendak dicari.
4. Suka atau tidak, Shell sebuah syarikat Barat dan hakikatnya idea LGBTQ di Barat adalah idea yang semakin dilazimkan. Dalam buku panduan penyakit psikiatri DSM-IV dan DSM-V, LGBTQ bukan lagi diklasifikasi sebagai penyakit mental. Ideologi ini sudah semakin tertanam dalam masyarakat sana, jadi tidak mudah kita hendak berkata kepada golongan LGBTQ supaya ‘menjadi normal'.
Kita malah perlu berhenti berfikir bahawa setiap perkara yang datang dari Barat semestinya agenda untuk menjatuhkan Islam (inilah sikap yang dikatakan sebagai ‘siege mentality’). Ya, LGBTQ ini menimbulkan rasa tidak selesa, dan ia bertentangan dengan prinsip Islam, tetapi tanggapan mereka terhadap fitrah seks telah begitu berlainan daripada kebanyakan kita dan tiada penyelesaian pantas kepada masalah ini.
Dan apabila kita menjalankan larangan ke atas idea, kerap kali ia meningkatkan kecenderungan manusia kepada idea tersebut walau atas kertas ia telah diharamkan. Sebagai contoh, di sebuah negeri di Amerika Syarikat, apabila ganja dibenarkan dalam perundangan, penggunaannya makin berkurangan, kerana ia sudah tidak dilihat sebagai suatu yang ‘cool’ dan ‘trendy’. Saya percaya, atas pemerhatian sendiri pada beberapa kenalan bahawa sedikit sebanyak terdapat juga unsur ‘cool’ dan ‘trendy’ ini bagi sesetengah penganut budaya LGBTQ.
Sesebuah idea akan mati apabila manusia sudah hilang minat terhadapnya. Ini juga pendekatan Dr Maszlee Mallik mengenai terorisme, yakni apabila terorisme cuba dibanteras dengan larangan secara terus, ia kurang membawa hasil. Terorisme akan tetap wujud kerana faktornya yang pelbagai. Sebaliknya, cara yang lebih berkesan adalah dengan membawa naratif-naratif positif untuk belia dakapi, yakni tentang kebahagiaan dan rahmah agama. Apabila belia dekat dengan idea-idea begini, fikrah terorisme dengan sendirinya akan dilupakan.
Di sini, apa yang saya ingin sampaikan adalah bahawa reaksi terburu-buru memboikot dan kemarahan terhadap Shell mungkin sahaja akan menyebabkan reaksi balas golongan LGBTQ untuk lebih terperuk dalam budaya mereka, lantas ini bertentangan dengan semangat asal boikot.
5. Apabila kita membincangkan masalah LGBTQ, suatu unsur pokok yang harus kita pastikan adalah apa yang dikira sebagai salah di sisi Islam: adakah perasaan suka sesama jantina, atau manifestasi fizikalnya (perbuatan homoseks)? Ada golongan yang cuba mempromosi dan menyebarkan gaya hidup LGBTQ dengan mengajak orang lain turut sama serta berbangga-bangga dengannya.
Tetapi tidak kurang juga yang mempunyai pergelutan dalaman dan cuba menghindarkan diri daripada melakukan perbuatan homoseks. Bagi mereka yang menyimpan keinginan sedemikian, jika mereka berusaha melawan perasaan mereka atau paling tidak, menghalang diri mereka daripada perbuatan, semoga Allah mengganjarkan mereka atas jihad mereka. Dan bagi mereka yang kadang kala tergelincir ke kancah dosa tetapi bertaubat dan kembali meneruskan usaha, semoga Allah mengampuni mereka dan terus membimbing mereka.
Golongan Islamis yang mampu berfikiran secara adil dan objektif (ada juga golongan Islamis yang suka menghukum pukal persis masyarakat umum) mungkin boleh berkata ‘kami menentang perbuatan kamu, tetapi kami tidak menentang kebajikan kamu dan hak untuk dilayan secara adil dalam hal-hal yang lain’, tetapi logika ini sukar untuk digarapkan oleh golongan LGBTQ yang sudah sedia dimusuhi masyarakat. Penentangan terhadap ideologi mereka adalah penentangan terhadap identiti mereka dan, makanya, penentangan terhadap mereka.
Justeru, apabila menimbang semula maslahah dan mafsadah (baik dan buruk), saya berpandangan bahawa nada boikot yang kita hendak SYIARKAN dalam ruang umum seperti Facebook, tidak akan boleh dinilai secara objektif oleh masyarakat umum kerana tidak ramai yang boleh memahami konsep ‘benci perbuatan, bukan individu’.
Lihat sahaja kepada insiden 2014 di mana kedai McDonald di Terengganu diserang secara fizikal. Sedangkan, waktu itu golongan Islamis hendak sampaikan mesej bahawa yang harus diboikot adalah syarikat yang menyumbang kepada Israel, tetapi ramai dalam masyarakat kita yang menghukum pukal dan menyerang pula pekerja-pekerja McD. Tentu sekali, tiada peruntukan dalam hukum Islam yang membenarkan tindakan tersebut!
Mahukah kita ambil risiko tersebut dengan sikap masyarakat kita yang sudah sedia membenci dan mengejek golongan LGBTQ, tanpa pula usaha serius untuk mencari penyelesaian atas semangat perbincangan dua hala? Boikot barang kali akan menguatkan perasaan benci mereka secara pukal. Sudahlah mereka rasa geli dengan golongan LGBTQ, mereka tidak boleh pula membezakan antara salahnya naluri atau perbuatan. Shell hanya memberi sokongan supaya tiada diskriminasi. Hal ini remeh dan jauh beza jika dibanding dengan kejahatan menyokong Israel.
6. Bagi golongan Islamis di Malaysia yang sebelum ini tidak pernah ada masalah atau kritikan daripada golongan LGBTQ, tidak perlu bagi mereka untuk terjebak dan terikut-ikut saranan boikot ini tanpa perbincangan yang lebih menyeluruh. Tambahan pula, sesetengah Islamis sering mendapat pujian daripada golongan ‘liberal’ atas pendekatan mereka kepada pelbagai masalah dalam masyarakat. Mereka ini harus terus menerajui dan mempelopori naratif Islam yang boleh diterima ramai.
Namun bagi LGBTQ, tentunya masih wujud persepsi kuat di kalangan mereka bahawa Islamis ini hanya tahu menghukum. Maka, Islamis tidak perlu tambah kepada persepsi ini dengan mensyiarkan boikot. Tahukah kita bahawa di Barat, golongan ‘liberal’ (haluan kiri) adalah golongan yang sering memberi sokongan kepada orang Islam dan menentang Islamofobia?
Kerana mereka percaya kepada kepelbagaian ideologi. Mereka ini menentang Islamofobia, menyokong pembebasan Palestin, tetapi atas nama kebebasan, mereka juga sokong LGBTQ. Capaian Islamis perlu menyeluruh; jangan Islamis hilang hubungan dengan mana-mana pihak akibat tindakan terburu-buru dalam masalah yang mempunyai pelbagai sudut dan lapisan.
Seperti yang saya kata, apabila Islamis MENSYIARKAN boikot, Islamis akan hilang dua golongan: golongan LGBTQ yang tidak faham bahawa yang ditentang adalah gaya hidup mereka dan bukannya perasaan mereka atau diri mereka sendiri, dan golongan orang ramai yang memang sudah sedia mendiskriminasi LGBTQ di mana Islamis tidak dapat mendidik mereka supaya berfikiran seperti Muslim yang adil, lantas mereka terus merasakan mereka betul kerana Islamis turut boikot.
Setakat ini, saya belum mengetahui kewujudan kumpulan Islamis yang ada membuat ‘engagement’ secara serius dengan golongan LGBTQ. Jika ada, maka tahniah saya ucapkan, dan jika tiada, moga ia mampu diwujudkan dengan kesungguhan sama yang diberikan kepada boikot.
Kesimpulannya, saya berpandangan bahawa LGBTQ ini adalah masalah rumit dan masyarakat harus lebih menyelami pemikiran golongan ini dan bukan bertindak secara reaktif (yakni, tidak setuju, maka terus boikot), dan Islamis pula tidak harus mengajar masyarakat untuk bersikap reaktif. Penyelesaian masalah ini barang kali memerlukan penyelesaian jamak sisi, yakni perubahan dasar pihak atasan sekali gus interaksi dengan golongan ini pada tahap akar umbi, bukannya menjauhkan mereka. Ia memerlukan masa dan kesabaran, bukannya langkah mudah dan segera yang mungkin akan mengeruhkan keadaan. Bukan semua pertempuran harus kita masuk; ada kalanya dakwah perlu mengambil jalan jauh untuk sampai ke destinasi.
Jika benar kita berminat untuk memboikot Shell, mungkin lebih wajar kita tumpukan pada kesan operasi mereka terhadap alam sekitar, perubahan iklim, dan eksploitasi atas sumber semula jadi di negara-negara miskin. Isu-isu berat ini yang mana nama Shell terpalit telah tersebar dan menjadi pengetahuan ramai; apakah perhatian mengenainya tidak diperoleh berbanding dengan sebuah kenyataan di Facebook?
Sekali lagi perlu ditekankan bahawa saya tidak menyokong budaya LGBTQ tetapi hanya menyuarakan pendapat peribadi terhadap keperluan memboikot Shell yang tidak ada kaitan dengan mana-mana pihak. Semoga nukilan ringkas saya sedikit-sebanyak menambah sudut pandang terhadap isu ini dan menggalakkan pihak sana pula membentang hujah-hujah mereka. Wallahu’alam.
* Dr Daniel Iqram Abd Halim seorang aktivis masyarakat.
** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.
Sumber Mahu boikot Shell kerana isu LGBTQ? ― Daniel Iqram Abd Halim