Judul : Idayu Enggan Toleh Ke Belakang
link : Idayu Enggan Toleh Ke Belakang
Idayu Enggan Toleh Ke Belakang
Idayu anggap kerjaya baru bermula. (Pic: Alexander Hadreez Jr.)
Suatu ketika dulu dia pernah kecewa apabila hasratnya untuk bergelar juara Akademi Fantasia musim ketiga musnah di pertengahan jalan apabila tersingkir awal. Bagaimanapun kesabaran serta terpaksa menanti selama 12 tahun ternyata berbaloi apabila Idayu akhirnya membuktikan dia adalah yang terbaik antara kesemua alumni AF apabila dinobatkan sebagai juara AF Megastar.
Justeru apabila gelaran juara sah menjadi miliknya, Idayu nekad mengumpul semangat dan enggan menoleh ke belakang lagi apabila mula memikirkan apakah hala tujunya pada masa akan datang.
“Buat masa ini saya masih lagi tengah berbincang bagaimana hala tuju kerjaya seni saya selepas ini. Apa yang pasti saya nak cepat-cepat ada album dan teringin mendengar lagu saya dimainkan di radio serta berpeluang untuk membuat persembahan di kaca televisyen.
“Adalah juga saya terima tawaran daripada dua, tiga label yang menunjukkan minat mahu menjadikan saya artis mereka. Bagaimanapun, saya masih belum membuat keputusan. Dari segi pengurusan, saya lebih selesa diuruskan suami sendiri. Selain itu saya juga mahu perbaiki diri terutama dari segi imej,” kata Idayu kepada Rojak Daily Kaw!
Berada dalam industri yang masih berpaksi kepada penampilan fizikal yang menarik, Idayu turut ditanya apakah dia akan tunduk dengan desakan sebegitu hanya semata-mata mahu memuaskan hati mereka?
Menjawab persoalan itu, penyanyi berusia 32 tahun ini berkata jika dia ingin membuat perubahan pun, ia adalah disebabkan faktor kesihatan dan keselesaan, bukannya sekadar ingin kelihatan cantik semata-mata.
“Sekarang ini berat badan saya dalam lingkungan 60 kilogram. Saya mahu turun sekitar 56 atau 57 kilogram dan buang lemak yang menggelebeh di sekitar perut saya ini. Bukanlah sebab nak cantik tetapi supaya saya boleh menyanyi dengan lebih selesa. Cuma kalau boleh, saya tak nak kurus sangat sebab nanti nada suara saya berubah.
“Ketika di AF berat badan saya kurang dari 55 kilogram akibatnya nyanyian saya agak pecah sedikit. Lagipun berat badan saya mudah turun terutama kalau letih dan tak cukup rehat,” ujarnya ketika ditemui ditemui pada sidang media sejurus selepas Konsert Peringkat Akhir AF Megastar yang diadakan di Shah Alam Royal Theatre malam Ahad lalu berakhir.
Diusik dengan pertanyaan dirinya kelihatan sedikit seksi dengan busana yang menampakkan seperti warna kulit, sambil ketawa Idayu menafikan perkara itu.
“Tak adalah seksi manapun. Suami saya sendiri pun tak anggap pakaian saya seksi. Dia terpegun lagi ada. Cuma pesan dia, kalau boleh jangan pakai singkat sangat.Lagi labuh kain, lagi bagus,”katanya yang masih belum memikirkan ke mana mahu dibelanjakan wang kemenangan bernilai RM100,000 itu.
Pada saingan peringkat akhir, Idayu tampil dengan lagu My All nyanyian asal Mariah Carey dan lagu baharu berjudul Selamanya hasil ciptaan Amylea Azizan.
Sumber Idayu Enggan Toleh Ke Belakang