Judul : Penakut, Najib sindir Nurul Izzah ‘lari’ ke Permatang Pauh
link : Penakut, Najib sindir Nurul Izzah ‘lari’ ke Permatang Pauh
Penakut, Najib sindir Nurul Izzah ‘lari’ ke Permatang Pauh
KUALA LUMPUR, 1 Mei — Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menyindir penyandang kerusi Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar kerana ‘melarikan diri’ untuk bertanding di Parlimen Permatang Pauh, kawasan yang lebih selamat baginya, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Beliau berkata naib presiden PKR itu sepatutnya berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN) di kawasan yang dimenanginya pada PRU12 dan PRU13, dan bukannya takut hingga sanggup ‘lari’ ke Permatang Pauh.
“Saya ingin tanya tuan-tuan...10 tahun ini lebih baik ke tidak? Tidak. Sebab itu, orang itu hilang, di mana dia sekarang? Dia sudah lari.
“Dia sudah angkat punggung lari ke Permatang Pauh. Jauh... kenapa dia tidak ada di sini? Sebab dia takut,” katanya ketika berucap pada majlis Gotong Royong dan Santai di Perumahan Pantai Indah Fasa 2, Lembah Pantai di sini.
Turut hadir calon BN bagi kerusi Parlimen Lembah Pantai Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan calon BN Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
“Kawasan Lembah Pantai ini, tiada orang yang lebih layak daripada Raja Nong Chik. Sebab itu saya pilih dia berdasarkan merit. Saya pilih dia bukan kerana sudah kalah dulu hendak bagi peluang tebus kekalahan,” kata beliau.
Ini merupakan kawasan pertama Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dikunjungi Najib hari ini.
Semasa lawatannya itu, perdana menteri turut meluangkan masa mengunjungi beberapa kediaman dan beramah mesra dengan penduduk sekitar, yang turut mengambil peluang untuk berswafoto dengannya.
Kerusi Parlimen Lembah Pantai menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Raja Nong Chik (BN) yang juga ketua Umno bahagian Lembah Pantai, Bendahari PAS Lembah Pantai Fauzi Abu Bakar (PAS) dan Pengarah Komunikasi PKR Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PKR) .
Pada PRU13, Nurul Izzah menewaskan Raja Nong Chik dengan majoriti 1,847 undi.
Parlimen Lembah Pantai mempunyai 79,908 pengundi berdaftar. — Bernama
Sumber Penakut, Najib sindir Nurul Izzah ‘lari’ ke Permatang Pauh