Judul : Suami bimbang Mila Jirin terbuai jika asyik menyanyi
link : Suami bimbang Mila Jirin terbuai jika asyik menyanyi
Suami bimbang Mila Jirin terbuai jika asyik menyanyi
KEBIASAANNYA, apabila seseorang penyanyi itu sudah lama berehat, mereka akan mengambil kesempatan mengeluarkan lagu baharu untuk menaikkan kembali populariti mereka.Namun berbeza dengan Mila Jirin, 31, yang mengambil pendekatan untuk mengeluarkan single dan kemudiannya menderma hasil keuntungan lagu tersebut.
Menurut juara Akademi Fantasia musim kelima ini, impiannya untuk menyumbang wang pada badan kebajikan sudah lama tersimpan, namun kerana belum berkemampuan, dia hanya menyumbang tenaga dan suara, setiap kali menyertai projek amal.
"Pada mulanya, suami tidak mengizinkan saya kembali aktif menyanyi. Dia bimbang saya terbuai hingga mampu menjejaskan perniagaan. Saya pula rindu menyanyi selepas lebih tiga tahun tidak masuk studio rakaman.
“Akhirnya, selepas puas memujuk, suami bersetuju dengan syarat dia mahu saya menyanyi lagu-lagu Islamik dan mempunyai seni kata yang baik, selain setiap sen pendapatan yang diperoleh disumbangkan kepada mereka yang memerlukan dana segera.
"Memang kebetulan, saya pernah berniat, jika dimurahkan rezeki, saya tidak akan sesekali melupakan insan yang kesempitan hidup dan memerlukan sumbangan.
"Jadi kini saya rasa, sudah tiba masanya menunaikan impian tersebut. Saya bersyukur kerana ALLAH SWT mengabulkan setiap doa saya,” ujarnya.
Mila yang berkahwin dengan Ahmad Ailis Mohamed Mustapha, 39, berkata, dia memilih Unit Salam, Muslim Volunteer Malaysia untuk menyalurkan dana.
Katanya, faktor statusnya yang kini bergelar ibu kepada Mohd Arif Zikri, setahun menyebabkan dia lebih cepat tersentuh dengan kanak-kanak.
“Unit Salam menyalurkan derma untuk kanak-kanak yang berdepan dengan masalah kesihatan dan memerlukan dana segera.
“Saya sebak melihat kanak-kanak yang terlantar sakit tetapi kekurangan duit untuk pembedahan atau rawatan segera,” jelasnya.
Sumber Suami bimbang Mila Jirin terbuai jika asyik menyanyi