Judul : 'Kehilangan' Keith Foo terjawab...
link : 'Kehilangan' Keith Foo terjawab...
'Kehilangan' Keith Foo terjawab...
HAMPIR dua tahun menyepikan diri daripada dunia seni, pelakon Keith Foo kini menyatakan kesediaannya untuk kembali tampil aktif dalam bidang lakonan sebagaimana sebelum ini.Kehilangan pelakon yang mula dikenali menerusi drama rantaian Ariana Rose ini bukan kerana sudah tidak berminat dengan dunia lakonan, tetapi disebabkan mahu memberikan tumpuan kepada keluarga, selepas isterinya, Kim Raymond hamil dan bersalin cahaya mata pertama mereka.
“Saya mula memperlahankan kerjaya seni dan memutuskan untuk berehat sementara selepas isteri disahkan hamil anak pertama kami.
“Saya tidak mahu dia melalui pengalaman ini secara berseorangan, jadi saya fikir adalah lebih baik saya mengambil cuti sementara untuk jaga dan lindungi dia sepanjang tempoh kehamilan dan kelahiran anak kami.
“Mulanya ingat bila isteri dah bersalin, saya boleh aktif kembali, tapi saya tangguhkan dulu sementara kerana nak bantu isteri uruskan anak dan biasakan diri dengan rutin baharu,” jelasnya.
Menurut Keith, dia tidak menyesal dengan keputusan yang dibuat itu kerana percaya pengorbanan tersebut demi kebahagiaan keluarga kecilnya.
Bergelar bapa kepada seorang anak perempuan comel, Skylar Raymond, 1, pelakon asal Gemas Negeri Sembilan ini mengakui rutin hariannya kini banyak berubah selain tanggungjawab baharu yang tergalas di bahunya.
“Saya dan isteri memang dah lama menantikan kehadiran cahaya mata dalam hidup kami, jadi bila dah dapat anak, kami sama-sama cuba memberikan yang terbaik.
“Walaupun isteri tak pernah bagi tugasan tertentu untuk saya uruskan anak, tetapi sebagai suami dah bapa, saya dengan sendirinya berbesar hati dan mengambil tanggungjawab untuk ringankan tugas isteri seperti mandikan anak, buat susu dan sebagainya.
“Sekarang anak saya dah berusia setahun dan barulah saya rasa OK untuk keluar kerja seperti biasa dan kembali aktif dalam lakonan,” akui Keith.
Sumber 'Kehilangan' Keith Foo terjawab...