Judul : Bojan Hodak harap keputusan positif di Bangkok
link : Bojan Hodak harap keputusan positif di Bangkok
Bojan Hodak harap keputusan positif di Bangkok
SEPANG: Ketua jurulatih skuad bola sepak Bawah-19 (B-19) negara, Bojan Hodak berharap anak buahnya dapat mencatat keputusan positif dalam tiga aksi persahabatan di Bangkok, Thailand, bermula esok.Beliau berkata perlawanan pemanas badan itu penting bagi mengukur kemampuan pasukannya sebelum bersaing pada Kejohanan B-19 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2018, yang dijadual berlangsung dari 1 hingga 15 Julai di Indonesia.
"Kemenangan dalam kesemua perlawanan itu penting kerana boleh memberi motivasi kepada pemain untuk menampilkan aksi lebih baik pada perlawanan seterusnya.
"Setiap kali menyertai kejohanan antarabangsa, kita sentiasa menekankan mentaliti untuk menang," katanya kepada pemberita sebelum berlepas ke Bangkok, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.Jurulatih kelahiran Croatia berusia 47 tahun itu berkata selain mengharapkan kemenangan pada setiap aksi persahabatan tersebut, beliau juga berharap pemain baharu dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan berkenaan.
"Saya juga belum memutuskan pemain mana bakal dipilih sebagai ketua pasukan, namun saya melihat tiga pemain mampu menggalas peranan tersebut iaitu Azhar Apandi, Ammar Akhmal Alias dan Hadi Fayyadh Abdul Razak," kata Hodak.
Malaysia akan berdepan skuad B-19 Thailand pada 30 Mei, diikuti perlawanan kedua menentang Assumption United pada 2 Jun.
Kedua-dua perlawanan tersebut dijadual berlangsung di Stadium SCG Muangthong.
Skuad remaja negara akan meneruskan aksi persahabatan bertemu Chonburi FC pada 4 Jun di Stadium Chonburi, sebelum berlepas pulang ke tanah air pada 5 Jun.
Dalam saingan pusingan akhir Kejohanan B-19 AFF, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Kemboja, Brunei, Timor Leste dan Myanmar.
-- BERNAMA
Sumber Bojan Hodak harap keputusan positif di Bangkok