Judul : Isu Selangor sekat FAS guna stadium hangatkan DUN
link : Isu Selangor sekat FAS guna stadium hangatkan DUN
Isu Selangor sekat FAS guna stadium hangatkan DUN
SHAH ALAM, 27 Mac — Isu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) tidak dibenar menjadikan Stadium Shah Alam (SSA) sebagai venue rasmi Liga Malaysia 2018 mencetuskan perdebatan hangat antara seorang anggota Exco kerajaan negeri dan pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Segalanya bermula dengan soalan tambahan Budiman Mohd Zuhdi (BN-Sungai Panjang) yang ingin tahu perkembangan terkini berhubung kemelut itu.
Ketika menjawab soalan berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata FAS tidak pernah menghantar surat kepada kerajaan negeri memohon untuk menggunakan SSA sejak awal 2017 seperti yang didakwa Presiden FAS Datuk Seri Subahan Kamal.
Sebaliknya kata Amirudin, kerajaan negeri hanya menerima satu surat pada hujung tahun lepas memohon penggunaan stadium berkenaan.
“Saya hantar surat balik kepada mereka untuk berbincang. Namun balasan yang diterima mereka tidak mahu berjumpa saya sebaliknya hanya mahu berjumpa dengan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk berbincang,” katanya.
Budiman yang jelas tidak berpuas hati dengan jawapan itu bangkit semula bertanyakan sama ada kerajaan negeri merancang untuk melakukan rundingan dengan FAS bagi menyelesaikan isu terbabit.
Ini kerana katanya SSA adalah ikon utama pembangunan sukan di Selangor dan konflik antara SSA dan FAS tersebut hanya merugikan rakyat Selangor.
“Rakyat melihat isu ini (adalah tentang) bagaimana kerajaan negeri menguruskan ego politik mereka. Nak tanya sampai bilakah kemelut stadium ini akan berlaku supaya pasukan bola sepak Selangor boleh terus bermain di SSA,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan pasukan The Red Giants itu dinafikan untuk beraksi di SSA susulan masalah dalaman antara FAS dengan kerajaan negeri sejak penghujung 2016.
Sejak itu, pasukan bola sepak tersebut terpaksa ‘menumpang’ di stadium lain. — Bernama
Sumber Isu Selangor sekat FAS guna stadium hangatkan DUN