Judul : Pelajar tahfiz terima anugerah Pingat Hang Tuah
link : Pelajar tahfiz terima anugerah Pingat Hang Tuah
Pelajar tahfiz terima anugerah Pingat Hang Tuah
BANGI, 1 Okt — Seorang pelajar Maahad Tahfiz yang berjaya menyelamatkan rakannya dalam kebakaran di sekolahnya di Baling, Kedah Ogos lalu, hari ini dianugerah Pingat Hang Tuah daripada timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana keberanian dan sifat kepimpinannnya.
Mohamad Farid Iskandar Mohd Zulkarnain, 12, menunjukkan sifat berani apabila dia berpatah balik untuk menyelamatkan rakannya Hazwan yang jatuh tersungkur ketika cuba menyelamatkan diri dalam kebakaran di Maahad Tahfiz Al-Quran Wartabiyyatul Islamiah di Telok Teduri.
Pada 6 Ogos, Mohamad Farid, anak sulung daripada dua adik-beradik itu terjaga dari tidur dan melihat kepulan asap yang tebal memenuhi ruang bilik asrama di tingkat 3 bangunan maahad tahfiz itu.
Menyedari kebakaran, dia lantas bangun mengejutkan enam lagi rakannya yang sedang lena tidur dan segera menuruni tangga untuk keluar dari bilik asrama sebelum mencapai baldi dan mengisi air, dan naik semula bagi memadamkan api.
Namun usaha mereka gagal kerana api semakin marak dan keadaan menjadi semakin berbahaya.
Dalam keadaan genting itu, Mohamad Farid dan Hazwan segera turun untuk menyelamatkan diri namun Hazwan jatuh tersungkur dan Farid berpatah balik untuk menyelamatkan rakannya.
Hari ini, Mohamad Farid menerima anugerah gemilang itu sempena sambutan Hari Kebajikan Negara 2017 anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi, di sini.
Farid yang berbaju Melayu dan bertengkolok menerima wang tunai berjumlah RM5,000, trofi, dan sijil penghargaan .
Hadir pada majlis itu menteri pembangunan wanita, keluarga dan nasyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan timbalannya, Datuk Seri Azizah Mohd Dun. — Bernama
Sumber Pelajar tahfiz terima anugerah Pingat Hang Tuah