Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 5.15 petang di sekolahnya di Pandan Jaya di sini, Jumaat lalu, mangsa ditampar ketika berada di dalam surau selepas solat Asar bagi menunggu sesi bacaan surah Yasin yang melibatkan pelajar tingkatan satu dan dua sekolah berkenaan.

 

Bapa mangsa, Jaffery Mahamood, 51, memberitahu, kejadian yang berlaku ke atas anaknya, Muhammad Ryzal Arief, 13, hanya diketahui daripada rakan-rakan anaknya yang membantu menghantar anak lelaki tunggalnya itu pulang ke rumah.

“Selepas itu, saya bersama isteri, Zaleha Aman, 55, dan anak pergi ke semula ke sekolah untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak sekolah mengenai perkara tersebut namun ada dalam kalangan guru sekolah berkenaan cuba mempersendakan kami dan menganggap ini adalah perkara kecil.

“Lebih teruk lagi, mereka menyuruh kami pulang tanpa sebarang penyelesaian. Selepas itu, saya terus bawa anak menjalani pemeriksaan di sebuah hospital swasta di Ampang yang kemudiannya mengesahkan gegendang telinga Muhammad Ryzal Arief bocor,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Menurut Jaffery, dia dan isteri telah membuat laporan polis pada malam kejadian sebelum ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat bagi menuntut keadilan ke atas kejadian yang menimpa anaknya.

Sementara itu, beliau berkata, dia amat kesal dan berang dengan layanan yang diberikan pengurusan sekolah berkenaan seolah-olah perkara tersebut sudah menjadi budaya dalam kalangan guru-guru di situ.

“Sepatutunya guru bertaraf ustaz lebih bersabar dalam menguruskan anak muridnya. Walaupun pelajarnya bersalah, mereka tidak boleh naik tangan, cukuplah dengan hanya merotan atau menghalau mereka keluar dari kelas dan sebagainya.

“Menampar anak orang seolah-olah melepaskan geram sebegini memang tidak betul, apatah lagi mendatangkan kecederaan serius. Saya minta pihak berwajib khususnya Kementerian Pendidikan mengambil serius isu ini jika tidak mahu perkara sebegini berulang lagi,” tegasnya.

Sementara itu, Muhammad Ryzal Arief berkata, ketika kejadian, bukan dia dan rakan-rakannya sahaja yang membuat bising tetapi ramai lagi pelajar lain.

Katanya, dia tidak tahu kenapa guru berkenaan menjadikannya mangsa sedangkan perkara itu boleh diselesaikan dengan cara lebih baik menerusi teguran dan sebagainya.

“Ketika ustaz cuba lempang, saya tahan tangannya dan itu mungkin menyebabkan dia lagi berang dan kemudiannya terus melempang saya sekuat hati. Selepas insiden itu, saya mengalami masalah pendengaran di bahagian telinga kiri,” katanya.

 

 

Sumber: UTUSAN ONLINE