Judul : Tourism Malaysia terus agresif promosi tapak selaman
link : Tourism Malaysia terus agresif promosi tapak selaman
Tourism Malaysia terus agresif promosi tapak selaman
LABUAN: Tourism Malaysia akan terus agresif mempromosikan tapak menyelam yang menarik di negara ini bagi membolehkan lebih ramai penyelam luar mengunjungi Malaysia.Misi pertama tahun ini adalah ke Rusia, melalui dutanya, Clement Lee, yang dipertanggungjawabkan untuk memberi penerangan mengenai tapak menyelam yang popular dan terkini di Sabah, Sarawak, Labuan dan Semenanjung.
Pengeluar dan pembekal perkhidmatan dalam industri skuba yang terkemuka di Rusia dan antarabangsa serta peminat akua seperti penyelam skuba, penyelam bebas, peminat aktiviti serampang ikan dan jurufoto dasar laut akan berkumpul di bawah satu bumbung sempena pameran tahunan, Moscow Dive Show pada 1-4 Feb.
"Matlamat pameran ini adalah untuk mewujudkan platform komunikasi yang berkesan untuk perniagaan borong dan runcit, pengembangan rangkaian pengedar, jualan langsung barangan dan perkhidmatan serta lokasi pertemuan tahunan bagi komuniti penyelam dasar laut.
"Saya akan memulakan satu lagi misi promosi ke luar negara untuk memberi penerangan pada acara RuDive, pameran pemborong terbesar industri selaman di Rusia yang berlangsung empat hari, turut dihadiri 20 ejen jemputan khas dan ketua kumpulan di seluruh Rusia yang dijadualkan mendengar taklimat kami," katanya kepada Bernama.Lee, anak jati Labuan, tersenarai dalam International Scuba Diver Hall of Fame pada 2011 dan dilantik sebagai duta Tourism Malaysia bagi segmen selaman bagi 2017-2019, berkata lokasi menyelam di Malaysia setanding dengan tapak selaman skuba yang popular di seluruh dunia.
Beliau berkata dua pengusaha pusat skuba, Lang Tengah Summer Bay Holiday Resort dan Borneo Divers Mabul Resort serta Timbalan Pengarah Tourism Malaysia (Bahagian Pakej) Yasmin Samsuddin akan menyertai delegasi promosi itu.
"Kami menjangkakan banyak aktiviti promosi semasa acara itu dan kami juga akan menghadiri parti Mega Networking anjuran Crocodile Dive Club yang terkenal di Rusia. Ia adalah peluang terbaik bagi kami semua untuk mengenali ejen menyelam yang berpotensi dan kedai barangan skuba," katanya.
Pada hari terakhir acara itu, Lee juga akan memberi penerangan mengenai tapak skuba dan resort yang menarik di Malaysia.
"Sudah pasti, lokasi menyelam yang popular di Labuan serta penemuan terbaru tapak selaman di Vernon Bank akan saya ketengahkan dalam taklimat saya," katanya.
Tourism Malaysia juga akan mengadakan cabutan bertuah, menawarkan pakej pelancongan dan menyelam yang ditaja Layang Layang Island Resort serta Borneo Divers and Summer Bay Holidays.
"Para penyelam Rusia benar-benar menyukai Malaysia kerana antaranya kemudahan sambungan udara, rakyat Malaysia yang mesra, kepelbagaian etnik dan budaya serta cuaca panas berbanding Rusia.
"Saya sangat positif kita akan dapat menarik minat penyelam Rusia ke Malaysia," katanya dan menambah Tourism Malaysia juga menerima maklum balas yang menggalakkan daripada pemborong dan pengusaha pelancongan, apabila ramai yang mahukan maklumat lanjut dan membuat pertanyaan mengenai pakej istimewa ke Malaysia. -- Bernama
Sumber Tourism Malaysia terus agresif promosi tapak selaman