Judul : Kes bunuh pelajar UPNM: 19 akan dibukti terlibat
link : Kes bunuh pelajar UPNM: 19 akan dibukti terlibat
Kes bunuh pelajar UPNM: 19 akan dibukti terlibat
Pihak pendakwaan juga akan buktikan kesemua 19 penuntut universiti itu terlibat dalam membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan si mati.
KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan mahu membuktikan kematian penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Pegawai Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain berpunca akibat dipukul, ditendang dan ditekap dengan seterika wap oleh 19 penuntut universiti itu sehingga mangsa mengalami luka lecur hampir 80% badannya kerana enggan mengaku mencuri sebuah komputer riba.
Timbalan Pendakwa Raya Othman Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, pihak pendakwaan juga akan membuktikan kesemua 19 penuntut universiti itu terlibat dalam membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan si mati.
Dalam ucapan pembukaan pada hari pertama perbicaraan kes itu, Othman berkata kesemua tertuduh memukul dengan tangan dan menendang mangsa selama 3 jam berturut-turut bermula pada 2.30 pagi 21 Mei 2017 sehingga 5.30 pagi hari sama, dan tindakan sama berulang dari 1.30 pagi sehingga 4.30 pagi pada 22 Mei 2017.
“Namun, nasib menimpa si mati (Zulfarhan Osman) tidak terhenti pada 4.30 pagi (22 Mei 2017). Fakta kes pendakwaan menunjukkan pada 4.45 pagi iaitu selepas sebahagian tertuduh keluar dari bilik 04-10 (asrama UPNM), soal siasat ke atas si mati diteruskan semula oleh tertuduh pertama hingga tertuduh ke-6.
“Semasa soal siasat itu dibuat, tertuduh pertama memegang seterika wap, seterusnya tertuduh ke-6 menyuruh tertuduh pertama mencucuh si mati dengan seterika wap tersebut sehingga si mati menjerit kesakitan.
“Tertuduh ke-2 hingga ke-5 juga menggunakan seterika wap sama untuk mencucuh badan si mati. Perbuatan itu dihentikan setelah selesai azan subuh berkumandang pada kira-kira 5.45 pagi,” katanya di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.
Beliau berkata pendakwaan melalui saksi pakar perubatan forensik juga akan mengemukakan hasil bedah siasat menunjukkan si mati mengalami beberapa kecederaan pada badan dan sebab kematiannya akibat luka bakar.
Menurutnya terdapat kesan lecur tahap 1, 2 dan 3 yang sedang mengalami proses penyembuhan pada tubuh mangsa.
“Komplikasi luka lecur adalah ‘hypovolemic shock’ (kekurangan cecair dalam badan), jangkitan kuman, organ penting rosak dan ketikdakseimbangan elektrolit sehingga boleh menyebabkan kematian selain terdapat pendarahan di bawah kulit kepala pada bahagian temporal kanan, kiri dan tengah kepala, boleh diakibatkan oleh objek tumpul,” katanya.
Anggota keluarga tertuduh turut menghadiri perbicaraan kes itu, bermula pada 9.30 pagi, manakala 7 anggota keluarga Zulfarhan Osman pula memakai baju T berwarna biru tertera #justice4farhan, #sayNOtoBULLY dan #humanity.
Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap Zulfarhan Osman bagi maksud hendak memeras mangsa untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.
Sembilan belas tertuduh itu, yang kesemuanya berumur 22 tahun, ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri , Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar dan Muhamad Ashraf Abdullah.
Tertuduh lain ialah Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Akmal Akif Alias, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany, Mohamad Syazwan Musa, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di bilik 03-05 Blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi, 21 Mei lalu dan di bilik 04-10, asrama sama, antara 1.30 pagi dan 4.30 pagi, 22 Mei 2017.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 7 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Lima daripada 19 penuntut berkenaan iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin dan Mohamad Shobiri menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan Osman di tempat, masa dan tarikh sama manakala seorang lagi iaitu Abdoul Hakeem menghadapi pertuduhan bersubahat membunuh pelajar itu.
Lima tertuduh itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntuk hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Abdoul Hakeem pula dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 302 kanun sama yang membawa hukuman serupa.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
Sumber Kes bunuh pelajar UPNM: 19 akan dibukti terlibat