Judul : Konsep Malaikat Dalam Islam
link : Konsep Malaikat Dalam Islam
Konsep Malaikat Dalam Islam
Orang-orang politik dok cakap pasal Malaikat sekarang ni. Jadi aku ambil peluang ini untuk cerita pasal sejarah Malaikat pula. Aku tak suka berpolemik, tapi suka untuk share knowledge for education.
Malaikat ni hal akidah (keyakinan/faith) yang bersifat Sam’iyat (Ghaib). Konsep tentang Malaikat ni dulunya kabur. Hanya para Nabi ja yang faham. Tiada penerangan yang detail untuk memahamkan orang awam tentang hal ini. Kaum pertama yang mula hurai secara detail pasal Malaikat adalah kaum Majusi (Zoroaster) yang berpegang kepada falsafah dualism. Konsep cahaya kebaikan (angelology) melawan kegelapan jahat (demonology).
Ketika orang Bani Israel ditawan ke Babylon, akidah Tauhid mereka terganggu dengan konsep polytheism dewa-dewi Babylon. Kemudian Raja Cyrus dari Persia yang beragama Zoroaster menewaskan Babylon. Bani Israel hidup dibawah kekuasaan Persia pula. Dari sinilah mula masuknya penafsiran mengenai konsep Malaikat dalam inkripsi tradisi orang Yahudi secara detail.
Pelbagai tafsiran ditulis oleh ulama Yahudi bagi menghurai konsep Malaikat yang selama ini difahami secara samar-samar melalui kitab para Nabi Bani Israel. Konsep dan huraian mengenai Malaikat di sisi ulama Yahudi ini diteruskan oleh golongan teologi Kristian. Namun, konsep Malaikat yang dianuti oleh Yahudi, Kristian dan Islam ada beberapa perbezaan. Hierarki, nama dan tugasan Malaikat dalam Islam tidak sama dengan versi Yahudi dan Kristian. Islam menolak fahaman “The Fallen Angel”.
Dalam Islam, Malaikat itu makhluk Allah yang dicipta dari cahaya dan sentiasa patuh kepada Allah, memiliki sayap, tidak berjantina, tidak bernafsu, suci dari melakukan dosa dan memiliki ilmu pengetahuan. Bilangan Malaikat tidak terhitung banyaknya dan berbeza-beza saiznya. Dalam nas al-Quran dan Hadis memperkenalkan beberapa nama Malaikat. Namun, ulama ASWJ menggariskan cukup sekadar wajib mengenali 10 daripadanya sahaja bagi memenuhi tuntutan Rukun Iman iaitu Percaya kepada Malaikat.
JIBRIL
Namanya bermaksud Keperkasaan Allah. Tugasnya menyampaikan Wahyu. Dalam Islam, Jibril dianggap sebagai Penghulu Malaikat. Namanya boleh disebut dengan dua cara iaitu Jibril atau Jabrail. Orang Yahudi dan Kristian menyebutnya sebagai Gibrael/Gabriel/Gabrael. Jibril hanya disebut tiga kali dalam Al Qur’an iaitu al-Baqarah ayat 97-98 dan at-Tahrim ayat 4. Selain itu, Jibril disebut dengan gelarannya sahaja seperti Ruh, Ruhul Qudus, Ruhul Amin dan lain-lain.
MIKAIL
Tugasnya mengatur rezeki buat manusia. Hanya nama Jibril dan Mikail sahaja yang tercatat secara jelas dalam kitab utama orang Yahudi. Nama Malaikat lain hanya disebutkan dalam lembaran-lembaran tambahan. Mikail disebut sebagai Michael bagi orang Yahudi dan Kristian. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 98, “Sesiapa memusuhi Allah dan memusuhi Malaikat-malaikatNya dan Rasul-rasulNya, khasnya malaikat Jibril dan Mikail, maka dia akan diseksa oleh Allah kerana sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang-orang kafir”.
IZRAIL
Nama malaikat yang disebut dalam al-Quran ialah Jibril, Mikail, Malik, Raqib dan Atid. Manakala Israfil, Munkar dan Nakir disebut dalam Hadis. Malaikat Izrail ialah malaikat yang paling misteri. Namanya tidak ditemui dalam al-Quran mahupun hadis. Dalam Quran dan Hadis, Izrail hanya disebut dengan gelarannya sahaja iaitu Malaikat Maut. Tugasnya adalah mencabut nyawa. Tidak kira muda, tua, pemimpin ataupun rakyat, semuanya akan dicabut nyawa oleh Izrail tanpa lewat satu saat, tanpa cepat satu saat, tanpa tersilap, tanpa u-turn. Nama Izrail dipercayai dibawa dari sumber Israeliyyat. Sebahagian mengatakan namanya diambil dari nama Malaikat Azrael dari inkripsi Judeo-Christian.
ISRAFIL
Israfil ialah salah satu dari empat Malaikat Utama (archangel) dalam Islam selain Jibril, Mikail dan Izrail. Nama Israfil tidak disebut dalam al-Quran tetapi hanya disebut dalam Hadis tentang hari kiamat. Tugasnya adalah meniup sangkakala. Sebahagian mengatakan namanya diambil dari nama Malaikat Raphael dari inkripsi Judeo-Christian. Jibril dan Mikail memang pasti terjemahannya ialah Gabriel dan Michael, tetapi Izrail dan Israfil diperselisihkan sama ada tepat atau tidak penterjemahan dari Azrael dan Raphael.
MUNKAR & NAKIR
Munkar dan Nakir ialah dua Malaikat yang menguji keyakinan diri orang yang telah mati di alam barzakh. Setiap yang mati tidak kira rakyat, pemimpin, miskin, biliyunair, pasti akan menghadapi soalan Munkar Nakir di dalam Kubur. Menurut hadis riwayat Imam Tirmizi, dari Abu Hurairah menceritakan bahawa Rasulullah bersabda, “Apabila seorang mayat atau seorang kamu telah dikuburkan maka datanglah kepadanya dua malaikat yang berwarna hitam dan biru. Yang satu bernama Munkar dan satu lagi bernama Nakir….”
RAQIB & ATID
Raqib mencatat amalan kebaikan di bahu kanan manakala Atid mencatat amalan kejahatan di bahu kiri manusia. Raqib dan Atid digelar Kiraman Katibin. Dalam surah Qaf ayat 18, “Tidaklah seseorang mengucapkan suatu perkataan, melainkan di sisinya terdapat malaikat Raqib dan Atid.”
MALIK
Tugas Malaikat Malik adalah menjaga Neraka. Malaikat Malik mengetuai Malaikat lain yang bernama Zabaniyyah untuk mengazab penghuni Neraka. Dalam surah az-Zukhruf ayat 77, “Dan mereka menyeru (kepada ketua malaikat penjaga neraka, dengan berkata): “Wahai Malik! Biarlah hendaknya Tuhanmu mematikan kami (kerana kami tidak tahan menderita)!” Malik menjawab: “Sesungguhnya kamu tetap kekal di dalam azab!”
RIDHUAN
Namanya bermaksud Keredhaan Allah. Namanya tidak disebut dalam al-Quran mahupun hadis sahih. Tetapi ada 4 hadis yang sangat lemah menyebutkan perihal nama Malaikat Ridhuan. Tugas Malaikat Ridhuan adalah menjaga pintu Syurga. Makhluk Allah masuk ke Syurga bukan kerana amalan, tetapi kerana keredhaan Allah.
Selain 10 Malaikat yang disebutkan di atas, terdapat beberapa lagi nama Malaikat yang disebutkan dalam nas-nas dalil seperti Malaikat 19, Zabaniyyah, Muqarabin, Harut Marut, Hafazah, Rahmah, Halamatul Arsy, Muaqqibat dan lain-lain. Azazil atau Iblis itu bukannya Malaikat. Cerita Malaikat Harut dan Marut melakukan dosa itu adalah Israeliyyat yang tertolak.
Kebanyakan masyarakat kita hari ini masih belum fahami asas tentang Rukun Iman Percaya Kepada Malaikat ini. Oleh itu, bagi mengelakkan kekeliruan, penulis tidak akan ceritakan konsep Malaikat dalam agama lain yang merangkumi kisah Malaikat Metatron, Uriel, Phanuel, Selaphiel, Jegudiel, Barachiel, Sealtiel, Jerahmeel, Raziel, Jophiel, Tzaphkiel, Tzadkiel, Khamael, Haniel, Saraqael, Raguel, Remiel, Izidkiel, Kepharel, Simiel, Suriel, Oriphiel, Dadrael, Sandalphon dan banyak lagi.