Judul : Krakatoa: Sejarah Dan Pengajaran
link : Krakatoa: Sejarah Dan Pengajaran
Krakatoa: Sejarah Dan Pengajaran
Kejadian tsunami yang melanda Indonesia beberapa hari lepas merupakan satu lagi ujian Tuhan yang amat getir terhadap Indonesia dan warganya. Dengan angka korban mencecah lebih 300 orang dan ramai memerlukan bantuan kemanusiaan, apa yang berlaku di Anak Krakatoa sebenarnya boleh dikurangkan impaknya sekiranya pihak berkuasa dan komuniti saintifik terutama pengkaji gunung berapi belajar untuk tidak alpa dan berusaha mencari inovasi terbaru bagi membantu pihak berkuasa dalam menangani bencana berkaitan gunung berapi.
Krakatoa 1883
Jika kita hendak mengelakkan lebih ramai manusia terkorban dari bencana alam membabitkan gunung berapi, maka kita perlu melihat apa yang berlaku dua abad sebelumnya. Pada Ogos 1883, lebih 36,000 mati akibat letusan gunung berapi paling berdarah dalam sejarah moden iaitu letusan Gunung Berapi Krakatoa. Ramai meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami semasa letusan atau tsunami yang tercetus akibat runtuhan gunung yang tenggelam ke dalam kaldera di bawah paras laut. Selain meninggalkan kesan kepada bilangan penduduknya, ia turut memberi kesan kepada iklim cuaca dan menurunkan suhu di pelbagai tempat seluruh dunia.
Pulau Krakatoa ini terletak di Selat Sunda yang terletak antara Sumatera dengan Jawa dan merupakan sebahagian daripada rangkaian kepulauan Indonesia hari ini. Pulau yang mempunyai keluasan 45 meter per segi itu mempunyai tiga puncak gunung berapi iaitu Perboewatan, Danan dan Rakata sebelum letusan itu berlaku. Selepas letusan gunung berapi yang berlaku pada tahun 1883, Krakatoa dan dua pulau berdekatan iaitu Lang dan Verlatan merupakan tinggalan kepada letusan besar yang meninggalkan kesan pada kaldera di bawah laut.
Tiga bulan sebelumnya, seorang kapten dari kapal perang Jerman bernama Elizabeth melaporkan melihat awan-awan debu di atas Krakatoa dengan ketinggian 9.6 kilometer. Untuk dua bulan berikutnya, pihak Belanda yang mengawal Pulau Jawa ketika itu terus mendapat laporan dari kapal-kapal komersial dan pelancong yang melihat aktiviti gunung berapi berkenaan termasuk bunyi yang kuat dan awan yang berbara. Bagi penduduk tempatan pula, mereka menyangka aktiviti gunung berapi berkenaan seolah-olah satu pertunjukan bunga api semulajadi yang menerangi langit malam.
Tetapi semua itu berakhir pada 27 Ogos 1883. Gunung berapi Krakatoa melepaskan muntahan laharnya setinggi 24 kilometer ke udara di atas Perboewatan. Saintis membuat teori serpihan-serpihan dari aktiviti letusan sebelumnya sudah menyumbat kon lahar yang membolehkan pertambahan tekanan dalam saluran magma. Dan itulah yang berlaku pada pagi 27 Ogos itu iaitu empat letusan gunung berapi yang kuat sehingga boleh didengar sejauh Perth, Australia dan Sri Lanka yang mengakibatkan kedua-dua Perboewatan dan Danan jatuh ke dalam kaldera di bawah laut. Kekuatan letusan berkenaan 10,000 kali ganda lebih kuat berbanding letupan bom atom di Hiroshima dan 10 kali lebih kuat berbanding letusan gunung berapi St Helens.
Serpihan mendapan piroklas gunung berapi yang dipanggil tefra dan gas letusan yang panas membunuh ramai penduduk di Jawa Barat dan Sumatera Selatan. Tetapi ribuan lagi mati akibat ombak tsunami dengan ketinggian 120 kaki yang terhasil apabila gunung berapi itu runtuh ke dalam laut. Akibatnya, lebih 165 perkampungan nelayan di Jawa Barat dan Sumatera ketika itu musnah sama sekali. Penduduk di kawasan-kawasan yang terjejas berasak-asak mahu ke tempat lebih tinggi dan sanggup bertolak-tolak untuk sampai ke situ. Selain perkampungan nelayan, ada juga kapal yang menjadi mangsa seperti Berouw dan Loudon. Abu dari letusan gunung berapi itu sampai hingga sejauh Antartika dan menurunkan purata suhu global sebanyak 1.2 darjah Celsius untuk lima tahun berikutnya.
Walaupun dianggap letusan gunung berapi paling merbahaya dalam sejarah moden, malangnya Krakatoa bukanlah letusan gunung berapi terbesar mengikut sejarah Indonesia. Sebaliknya, ‘penghormatan’ itu jatuh kepada letusan Gunung Tambora yang berlaku pada 10 April 1815. Apabila Tambora memuntahkan laharnya ke udara, ia mengakibatkan purata suhu global jatuh sebanyak lima darjah Celsius termasuk di Amerika Syarikat. Tahun 1816 digelar tahun tanpa musim panas kerana banyak tanaman tidak menjadi dan secara tidak langsung, menyumbang kepada penciptaan basikal. Basikal dipilih sebagai jenis pengangkutan di Amerika Syarikat dan Eropah kerana kos makanan untuk haiwan tunggangan amat tinggi.
Anak Krakatoa
Pada tahun 1927, beberapa nelayan Jawa terkejut selepas melihat kolum stim dan serpihan mula keluar dari kaldera yang runtuh itu. Krakatoa kembali semula selepas 44 tahun dan dalam tempoh beberapa minggu berikutnya, ia mula membentuk kon baru yang muncul di atas paras laut. Dalam tempoh setahun, ia membesar menjadi sebuah pulau kecil yang dipanggil Anak Krakatoa. Sekali-sekala gunung berapi berkenaan meletus tetapi tidaklah merbahaya sehingga mengancam keselamatan pulau-pulau sekitarnya. Letusan terakhir sebelum insiden tsunami baru-baru ini direkodkan pada 31 Mac 2014 dan didaftarkan dalam Indeks Letusan Gunung Berapi (VEI) sebagai satu.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, para saintis yang memantau Anak Krakatoa melihat kedudukannya yang tidak stabil dan berpotensi mencetuskan ancaman kepada pulau-pulau sekitarnya. Malah, mereka turut menghasilkan model apa yang akan berlaku sekiranya bahagian barat daya gunung berkenaan runtuh. Berdasarkan analisis mereka, bila runtuhan tersebut berlaku, ia akan menghasilkan ombak dengan ketinggian berbelas meter yang akan mengenai pulau-pulau seperti Sertung, Panjang dan Rakata dalam tempoh kurang daripada seminit. Apabila ia tersebar ke sekitar Selat Sunda, ia akan beransur-ansur hilang tetapi ia akan melanda kawasan pesisir pantai dengan ombak setinggi satu hingga tiga meter.
Bagi sesiapa yang melihat model berkenaan, ia dilihat hampir sama dengan apa yang berlaku beberapa hari sebelumnya. Ini ditambah ombak besar yang dipengaruhi fasa bulan baru direkodkan oleh alat pengesan ombak di Selat Sunda berlaku setengah jam selepas aktiviti terbaru letusan Anak Krakatoa. Bagi Raphael Paris, salah seorang saintis yang bertanggungjawab terhadap kajian berkenaan menyifatkan kajian yang dibuat oleh rakan-rakannya sebagai satu senario paling buruk kerana ombak tsunami yang melanda tidaklah sebesar mengikut simulasi mereka. Namun, timbul keresahan para saintis berkenaan kestabilan kon gunung berapi berkenaan dan mereka melihat senario terbaru runtuhan dan tsunami pada masa akan datang tidak seharusnya dipandang remeh.
Jika ada merasakan senario ini hanya berlaku di Indonesia, anda salah. Runtuhan sebegini pernah berlaku di Greenland pada tahun 2017 yang menghasilkan ombak setinggi 100 meter selepas satu runtuhan memasuki kawasan fjord di barat negara berkenaan. Dan tidak mustahil, insiden tsunami yang melanda Palu tidak lama dahulu juga berpunca dari perkara sama. Insiden tsunami di Palu berlaku berkemungkinan akibat pergerakan sedimen yang besar yang masuk ke laut dari kawasan pesisir pantai atau masuk ke dalam cerun bawah laut di Teluk Palu.
Pengajaran pahit
Satu perkara yang menggusarkan ramai saintis berkenaan apa yang berlaku di Selat Sunda dan Palu ialah penduduk menjalankan kehidupan seperti biasa tanpa mengetahui bahaya yang akan menimpa mereka berdasarkan video-video yang mereka tonton. Jika ada gempa bumi yang mengiringi aktiviti letusan gunung berapi Anak Krakatoa, penduduk mungkin boleh mengambil langkah menyelamatkan diri. Bagaimanapun, aktiviti seismik yang hanya dapat dikesan oleh pengesan sensitif tidak disedari oleh penduduk dan jika mereka hendak menyelamatkan diri, peluang untuk melakukan perkara sedemikian amat rendah berikutan jarak mereka dari sumber tsunami itu sendiri amat pendek.
Prof Dave Rothery dari Open University di United Kingdom berpandangan walaupun ada boya pengesan tsunami di Selat Sunda, ia berfungsi untuk mengesan tsunami yang tercetus akibat aktiviti gempa bumi dan bukannya aktiviti letusan gunung berapi seperti yang diakui ketua agensi bencana kebangsaan Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho. Malah dalam satu temubualnya bersama Channel News Asia, beliau mengakui sistem boya berkenaan tidak berfungsi sejak 2012 lagi akibat masalah teknikal, dirosakkan individu-individu tidak bertanggungjawab dan ketiadaan dana untuk menyelia dan menambahbaik kemudahan berkenaan. Akibatnya, sistem berkenaan gagal memberi amaran tentang tsunami yang berlaku pada malam Sabtu lepas.
Selain itu, ia juga merupakan satu ingatan pahit kepada komuniti saintifik antarabangsa untuk mengembangkan lagi pengetahuan mereka berkenaan aktiviti tektonik dan gunung berapi bawah laut. Usaha ini sudah dipergiatkan selepas insiden tsunami Acheh yang berlaku pada tahun 2004 tetapi ia perlu dikembangkan bagi membantu negara-negara yang terkesan dengan aktiviti sebegini mengenalpasti ancaman dan langkah yang perlu diambil bagi membawa penduduk ke tempat yang selamat. Seruan ini sudah dilaungkan pada awal bulan ini menerusi Mesyuarat Kesatuan Geofizik Amerika yang menghimpunkan saintis-saintis terkemuka dari bidang geofizik dari seluruh dunia.
SUMBER
1. Channel News Asia. (2018). Indonesia’s tsunami buoy warning system not working since 2012: Official. http://bit.ly/2Cw6r8l
2. Amos, Jonathan. (2018). BBC. Indonesia tsunami: How a volcano can be the trigger. https://bbc.in/2GEsgH3
3. Bagley, Mary. (2017). LiveScience.com. Krakatoa Volcano: Facts About 1883 Eruption. http://bit.ly/2h5ygc1